Kepengerusian ASEAN: Malaysia Akan Terus Pupuk Hubungan Ekonomi Kukuh – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia akan terus berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan serantau dan memupuk hubungan ekonomi yang kukuh.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia akan kekal komited kepada rundingan dan dialog untuk menangani isu tarif Amerika Syarikat di samping melaksanakan reformasi ekonomi.
“Semasa Chatham House Panel Discussion, saya mengupas impak dasar perdagangan Amerika Syarikat dan bagaimana Asia, khususnya Malaysia menghadapinya. Saya berkongsi bahawa kita kekal komited kepada rundingan dan dialog, bukan tindak balas dalam menangani isu tarif ini.
“Apa yang lebih penting, Malaysia akan terus mengukuhkan rantaian bekalan, mempelbagaikan pasaran eksport dan melaksanakan reformasi ekonomi melalui inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (#NIMP2030) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk memastikan daya saing jangka panjang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menzahirkan rasa syukur apabila reformasi ekonomi yang dilaksanakan membuatkan Malaysia lebih teguh dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
“Alhamdulillah, dengan reformasi ekonomi dan industri yang dimulakan sejak 2023, Malaysia kini mampu menghadapi cabaran ekonomi global ini dari posisi yang kukuh memperlihatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 adalah 5.1 peratus, melebihi jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
“Pelaburan yang diluluskan pada 2024 juga mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, dengan RM378.5 bilion. Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi kita. Apa yang kita perlukan sekarang adalah kesungguhan untuk meneruskan polisi membina daya tahan industri dan syarikat-syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kita juga akan terus berusaha memperkukuh kedudukan serantau dan memupuk hubungan ekonomi yang kukuh,” katanya lagi. – UMNO Online