Karnival Jom Masuk IPT : Menyemai Harapan, Membina Masa Depan – Reezal Merican
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpandangan Karnival Jom Masuk IPT merupakan salah satu inisiatif penting dalam memberi bimbingan, panduan dan inspirasi kepada para pelajar yang sedang merancang langkah ke menara gading.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata, ini kerana ia berjaya menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan swasta, serta kaunter-kaunter khidmat untuk membantu para pelajar dalam urusan permohonan UPU, biasiswa dan laluan kerjaya.
“Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk merasmikan Karnival Jom Masuk IPT yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Bertam bertempat di Sunshine Mall, Bertam.
“Saya melihat sendiri keterujaan para pelajar dan ibu bapa yang hadir meneliti brosur, bertanya soalan, mencari nasihat dan menggenggam harapan. Ia satu pemandangan yang menyentuh hati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Reezal dalam pada itu meluahkan pengharapan agar anak-anak Kepala Batas akan terus melangkah yakin, berusaha tanpa jemu di samping menjadikan ilmu sebagai bekalan paling berharga dalam hidup mereka.
“Di bahu mereka tersandar masa depan keluarga dan negara.
“Insya-Allah, inisiatif sebegini akan saya teruskan dan perhebatkan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
Majlis terdahulu dimulakan dengan ucaptama oleh Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed yang menyampaikan mesej jelas tentang kepentingan pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berwibawa dan berdaya saing.
Turut hadir Pegawai Daerah Seberang Perai Utara; Mohd Hafiz Aswad Nadzri; Timbalan Naib Canselor (Akademik), Al Bukhary International University, Prof. Dr. Hj Mohamad Abdullah Hemdi; Pengarah Giat MARA Pulau Pinang, Tajul Muluk Shaari; Timbalan Rektor UiTM Bertam; Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd Nor dan kepimpinan tempatan. – UMNO Online