MRSM KKB Ungguli SPM 2024, MARA Salur Peruntukan RM450,000 Penambahbaikan Prasarana
HULU SELANGOR, 22 Mei – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semalam mengadakan lawatan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu yang mencatat sejarah sebagai MRSM terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sekali gus tersenarai dalam kelompok 10 sekolah terbaik di Malaysia.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Dr. Asyraf menyifatkan pencapaian luar biasa itu sebagai hasil komitmen tinggi para pelajar yang istiqamah, berdisiplin serta para pendidik dan pentadbir yang sentiasa berusaha gigih tanpa mengenal penat lelah demi kecemerlangan pendidikan anak bangsa.
“Saya amat menghargai semangat dan usaha seluruh warga MRSM KKB yang telah mengharumkan nama MARA. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan, tetapi menjadi inspirasi kepada semua MRSM di seluruh negara,” katanya.
Beliau turut mengambil maklum isu gangguan monyet yang kerap mengganggu suasana pengajaran dan pembelajaran, khususnya di kawasan asrama dan bilik darjah.
“Sebagai tanda prihatin pihak pengurusan MARA, MARA telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk pemasangan jaring pada tingkap-tingkap di asrama sebagai langkah perlindungan dan keselamatan pelajar.
“Peruntukan ini juga termasuk pelbagai penambahbaikan prasarana dan kemudahan di bangunan akademik dan asrama termasuk membaiki tandas, penukaran karpet surau, menambahbaik lantai dewan dan lain-lain.”
Selain itu katanya, MARA turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 khusus bagi aktiviti pelajar dan guru sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang dicapai.
Dr. Asyraf turut berharap agar MRSM Kuala Kubu Bharu kekal sebagai contoh unggul dalam sistem pendidikan negara dan terus melahirkan modal insan berkualiti untuk masa depan Malaysia. – UMNO Online