Kerajaan Komited Perkukuh Agenda Ekonomi Bumiputera – TPM Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 21 Mei – Kerajaan akan terus menyokong dan memperkukuh dasar serta inisiatif yang berteraskan aspirasi ekonomi Bumiputera bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mendengar dan meneliti pembentangan kertas Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, usaha memperkasa ekonomi Bumiputera perlu digerakkan dengan komitmen menyeluruh yang merentasi kementerian, agensi dan sektor swasta.
Katanya, hal ini penting dalam memastikan keseimbangan dan kestabilan pembangunan negara terus terpelihara.

“Sebagai sebuah negara yang menjadikan keseimbangan dan kestabilan sebagai asas pembangunan, usaha untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum perlu diberi perhatian serius dengan sokongan semua pihak,” uajrnya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama memperhalusi dan membincangkan agenda penting ini dalam sesi yang dijadualkan pada Jumaat ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79