Persidangan UMNO: Norshida Teguh Sokong Peranan Wanita Teruskan Perjuangan
JOHOR BAHRU, 21 Mei – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim, menyatakan rasa terujanya apabila berpeluang menghadiri Mesyuarat Penubuhan Penaja Wanita UMNO di Cawangan Taman Sri Alam 2 malam tadi.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Cawangan atas sokongan padu beliau terhadap penglibatan wanita dalam memperkukuh peranan mereka di dalam parti.
“Insya-Allah, sebagai wanita, kita akan terus berusaha menyokong segala aktiviti parti dan memastikan UMNO terus relevan di hati rakyat,” katanya.
Norshida juga turut menyatakan komitmennya untuk terus memberi sokongan terhadap semua aktiviti Wanita UMNO.
Sebelum itu, beliau turut berkesempatan menghadiri Mesyuarat Wanita UMNO Cawangan Tasek yang menganggap persidangan terbabit adalah amanah dan tanggungjawab terhadap parti.
Ujarnya, kehadiran ramai kaum ibu telah memastikan korum mesyuarat dicapai, dan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua ahli yang hadir atas komitmen mereka.
“Pelbagai pandangan dan perkongsian telah disuarakan oleh ahli-ahli mesyuarat, mencerminkan keprihatinan terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, mesyuarat berjalan dengan lancar dan saya dapat melihat wajah-wajah ceria ahli mesyuarat selepas sesi berakhir,” tambah beliau.
Norshida juga berharap pertemuan dan mesyuarat yang berlangsung dapat membawa manfaat kepada semua selain memperkukuhkan lagi kerjasama dalam organisasi Wanita UMNO. – UMNO Online