PRN Johor ke-16: Perbincangan Kerjasama Perlu Dibuat Secara Tertib, Matang – Mohammad Aswad

KUALA LUMPU, 22 Mei – Sebarang perbincangan mengenai kerjasama pilihan raya perlu dibuat secara tertib, matang dan berpaksikan semangat muafakat terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang akan datang.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, UMNO Johor sentiasa menjunjung keputusan pucuk pimpinan parti maka sebarang keputusan perlu dicapai melalui meja rundingan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Pertama sekali, UMNO dan BN sentiasa mengutamakan kestabilan serta kesejahteraan rakyat Johor. Dalam konteks Kerajaan Perpaduan, sebarang perbincangan tentang kerjasama pilihan raya perlu dibuat secara tertib, matang dan berpaksikan semangat muafakat nasional, bukan melalui media atau desakan terbuka.

“UMNO Johor sentiasa menjunjung keputusan parti dan gabungan BN. Sekiranya ada sebarang perkembangan berkaitan rundingan kerusi atau bentuk pertandingan, ia akan diputuskan di meja rundingan antara kepimpinan tertinggi BN dan PH, bukan melalui tekanan satu hala,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mahu PRN tersebut menjadi medan memperkukuh kestabilan pentadbiran negeri yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda membela rakyat.

“Pemuda UMNO Negeri Johor tidak mahu PRN ke-16 dijadikan medan menunjukkan ego politik mana-mana pihak. Kami mahu ia menjadi medan memperkukuh kestabilan negeri, menyambung legasi pembangunan Maju Johor dan membawa suara rakyat khususnya anak muda ke peringkat tertinggi.

“Fokus kami pada hari ini ialah isu pekerjaan, pendidikan, peluang ekonomi anak muda dan kebajikan rakyat. Bukan siapa tanding berapa penjuru.

“Pemuda UMNO Johor menyeru semua rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar berhenti daripada bermain strategi terbuka yang hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap gabungan ini. Kemenangan sebenar bukan siapa tanding di mana, tetapi siapa yang paling komited membela rakyat Johor. Fokus kita rakyat, bukan retorik siapa lawan siapa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79