Pencapaian Warga UURI Penting Untuk Agenda Reformasi Institusi Dilaksana, Diiktiraf – Azalina
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pencapaian warga kerja Kluster Undang-Undang dan Reformasi Institusi (UURI) merupakan faktor penting untuk agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi Kerajaan Madani dapat dilaksanakan dengan begitu lancar serta diiktiraf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dan Jasamu Dikenang Tahun 2025 merupakan simbol penghargaan kerajaan kepada warga yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam perkhidmatan awam.
“Pada Selasa telah berlangsung Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Jasamu Dikenang Tahun 2025 bagi Kluster UURI di Putrajaya.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk hadir bagi sama-sama meraikan dan menghargai para penerima anugerah. Majlis ini bukan sekadar meraikan pencapaian cemerlang dan khidmat bakti warga serta pesara kluster UURI, tetapi ia merupakan simbol penghargaan kerajaan kepada mereka yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam perkhidmatan awam.
“Bagi UURI, pencapaian mereka ini merupakan antara faktor terpenting agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi Kerajaan Madani dapat dilaksanakan dengan begitu lancar serta diiktiraf bukan sahaja di dalam malah di luar negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga di atas usaha keras mereka dalam memberikan perkhidmatan.
“Justeru, kepada semua 157 penerima APC untuk Tahun 2024, saya ucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha keras anda semua. Juga kepada 31 orang yang telah dan akan bersara pada tahun 2025 ini, saya dengan rendah hati ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa serta khidmat bakti anda semua.
“Saya ucapkan selamat maju jaya… saya doakan semoga diberi kesihatan yang baik dan dapat menikmati persaraan yang tenang, sejahtera serta menggembirakan bersama keluarga tersayang.
“Saya turut berbangga apabila Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) dan Pegawai Perlindungan Pejabat Menteri UURI turut menerima APC tahun ini. Syabas!” katanya lagi. – UMNO Online