LIMA’25 Serlah Potensi, Kemampuan Teknologi Buatan Malaysia Ke Pentas Global

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) sebagai ruang kepada syarikat tempatan untuk mempamerkan kemampuan teknologi buatan Malaysia ke pentas global.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata LIMA’5 kali ini yang bertemakan ‘Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’ juga sebagai platform strategik yang menyatukan pemimpin, penggiat industri, ahli akademik dan pelabur dari seluruh dunia

“Alhamdulillah, pagi tadi saya berpeluang mengiringi Perdana Menteri dalam majlis perasmian LIMA’25 di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), sebuah pameran berprestij yang terus menyerlahkan posisi Malaysia sebagai hab pertahanan, aeroangkasa dan maritim serantau yang dihormati.

“Pertunjukan udara pembukaan yang memukau tadi menampilkan kekuatan 25 pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk pesawat pejuang, pengangkut, helikopter dan latihan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu memaklumkan beliau berbesar hati turut hadir ke pelancaran RIBAT, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi pertama yang direka dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, MILDEF.

Menyifatkan produk tersebut bukan sahaja lambang kemampuan anak tempatan, tetapi juga kata beliau cerminan cita-cita negara dalam memperkasa industri pertahanan tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia serta semua agensi yang terlibat atas kejayaan penganjuran edisi LIMA tahun ini.

“Insya-Allah, kejayaan LIMA 2025 ini akan menjadi batu loncatan kepada lebih banyak lagi kolaborasi strategik yang membawa manfaat kepada negara, rakyat dan anak muda kita untuk berdaya saing di pentas global,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79