MARA, Sarawak Bakal Perkukuh Kerjasama… Perkasa Pendidikan, Keusahawanan

KUCHING, 20 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Sarawak untuk memperkasakan bidang pendidikan dan keusahawanan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau melihat potensi besar untuk mempertingkatkan kerjasama tersebut yang bakal merangkumi tenaga konvensional dan baharu.

“Kita melihat potensi besar dalam mempertingkat kerjasama ini memandangkan MARA mempunyai mandat dan kemudahan pendidikan yang boleh diselaraskan dengan aspirasi Kerajaan Sarawak, terutamanya untuk menjadikan negeri ini sebagai hab tenaga baharu termasuk hidrogen.

“Pelan induk sedang dirangka untuk mengangkat Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu sebagai pusat latihan serantau dalam bidang tenaga merangkumi minyak dan gas serta teknologi tenaga hijau dengan fasiliti bertaraf antarabangsa yang telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

“Inisiatif ini akan memastikan anak-anak Sarawak mendapat manfaat langsung daripada program pendidikan dan latihan kemahiran MARA seperti IKM serta GiatMARA. Kita mahu mereka menjadi tenaga kerja mahir dengan jaminan pekerjaan dan gaji yang bermaruah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pagi tadi, yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju secara prinsip untuk menjadikan IKM Bintulu sebagai hab pendidikan serantau dalam bidang tenaga.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam pada itu turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa permintaan untuk menaik taraf fasiliti telah diluluskan ketika sesi libat urus bersama pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi MARA di Bintulu.

“Dalam sesi libat urus bersama pelajar-pelajar MRSM dan institusi MARA di Bintulu, beberapa permintaan untuk menaik taraf fasiliti telah diluluskan dengan peruntukan dianggarkan melebihi RM3 juta.

“Semangat dan motivasi pelajar-pelajar di Sarawak sangat luar biasa. Kita mahu mereka terus maju dan MARA komited untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada mereka,” katanya.

Mengenai pelan induk IKM Bintulu, beliau berkata perinciannya dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan dan pelancaran rasmi akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

“Kita tidak mahu sekadar menjadi ‘jaguh kampung’. Kita mahu Sarawak dikenali sebagai pemain global dalam pendidikan berkaitan tenaga,” tegas beliau.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman; Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat Kementerian Kewangan; Nor Azizati Hamzah; Mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim; Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Prof Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali; Mantan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Hasan Malek; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Rosni Sohar dan Guru Cemerlang (Ikon STEM Negeri Sarawak), Ajar@Siti Ajar Yasin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79