‘Komitmen, Semangat Akar Umbi Dalam Persidangan UMNO Cawangan Bersemarak’
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Bersempena Persidangan Tahunan UMNO Cawangan yang berlangsung ketika ini, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Anuar Abd Manap berbesar hati turun padang menyantuni akar umbi parti.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pemanis turut sama meluahkan penghargaan atas komitmen diberikan mereka untuk hadir pada persidangan kali ini, sekaligus memberikan manifestasi kepada pengukuhan dalam kalangan pendukung parti keramat ini.
“Ia menjadi tanggungjawab tahunan kepada semua cawangan-cawangan UMNO bersidang sebelum 25 Mei ini.
“Terima kasih kepada semua pimpinan cawangan yang masih bersemangat dan memberikan komitmen hadir pada setiap kali persidangan berlangsung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Anuar pada perkongsian sama berkongsi kehadirannya ke Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bandar Putra, Kampung Gubah, Pekan Jabi, Kampung Sermin,
Memanfaatkan peluang tersebut, beliau turut memberikan penerangan berkenaan hala tuju parti.
“Mana yang sempat saya santuni, adalah peluang untuk menerangkan hal-hal parti dan kerajaan negeri untuk dikongsi dengan mereka yang datang mesyuarat.
“Semoga semua persidangan cawangan-cawangan yang telah selesai mahupun yang akan berlangsung nanti dipermudahkan segala urusannya,” ujar beliau.
Untuk rekod pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bagi tahun ini bermula pada 7 April hingga 25 Mei ini.
Manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai dan 20 Ogos hingga 23 Ogos bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025. – UMNO Online