Sekolah Patriotik Medan Melatih, Fahamkan Pemimpin Muda Tentang UMNO
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Sekolah Patriotik UMNO merupakan medan untuk melatih dan memahamkan para pemimpin muda tentang parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kewujudan Sekolah Patriotik UMNO ini mengambil kira perubahan landskap politik mengikut peredaran zaman yang masih mengekalkan semangat dan falsafah parti.
“Saya bersama kawan-kawan lain bangga melihatkan kewujudan Sekolah Patriotik UMNO yang telah diluluskan dan diilhamkan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.
“Pastinya Sekolah Patriotik UMNO ini adalah merupakan salah satu institusi atau ‘vehicle’ untuk kita melatih pemimpin-pemimpin muda bagi lebih memahami apakah UMNO ini sebenarnya. UMNO ini bukan sahaja dengan semangat penubuhannya pada 1946, tetapi juga sebuah legasi perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
“Zaman berubah begitu juga dengan pendekatan, pemikiran dan juga ‘approach’. Tetapi, semangat dan falsafah tidak akan pernah berubah. Antara yang dihasratkan oleh Presiden ialah supaya Sekolah Patriotik ini mengambil kira peredaran zaman, agar falsafah kewujudan UMNO tidak akan lupus dan lekang serta diwarisi oleh pemimpin-pemimpin masa akan datang” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan Selamat Ulang Tahun UMNO yang ke-79 dan menegaskan bahawa UMNO masih kekal relevan sehingga kini meskipun telah menempuh pelbagai ujian.
“Mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, pastinya saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun UMNO pada 11 Mei ini.
“Ia merupakan satu perjalanan yang cukup panjang. UMNO telah melalui pelbagai dugaan dan kejayaan. Namun, apa yang penting ialah UMNO masih kekal, ‘intact’ dan relevan sehingga ke hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden yang kita kasihi.
“Saya anggap sambutan ulang tahun pada kali ini lebih penting untuk kita memastikan bagaimana UMNO terus kekal relevan insya-Allah pada masa yang akan datang untuk generasi masa hadapan,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei akan datang setelah ditubuhkan pada tahun 1946.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang melibatkan penyertaan 48 orang pelajar. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman