Penerangan UMNO Bukan Tentang Individu

PENERANGAN UMNO ingin menegaskan bahawa zaman politik terbuka yang bergantung sepenuhnya kepada ceramah besar-besaran dan retorik pentas sudah berubah. Dunia politik kini menuntut pendekatan yang lebih halus, bersifat strategik dan disasarkan.

Kejayaan hari ini tidak lagi bergantung kepada sorakan khalayak semata-mata, tetapi pada keupayaan untuk menembusi minda pengundi dengan naratif yang tersusun rapi.

Sesetengah pihak mungkin bertanya, kenapa UMNO tidak seagresif dahulu? Atau mengapa tidak nampak gerak kerja Penerangan?

Jawapannya mudah. Kami bergerak dengan cara yang berlainan dan lebih berkesan. Tidak semua pertempuran perlu dilancarkan secara terbuka. Ada gerak kerja yang lebih tajam jika dilakukan secara dalaman dan bersandarkan analisis yang mendalam.

Kami tidak berdiam diri. Kami menyusun. Kami memperkasa jentera. Jika anda mengikuti gerak kerja dan berada di dalam aliran komunikasi, pasti anda akan melihat keberkesanannya.

Penerangan UMNO hari ini menggunakan strategi yang bergerak melalui saluran komunikasi pelbagai lapisan dengan memperkasakan akar umbi. Kami menyebarkan naratif melalui WhatsApp kepada rakyat, menerbitkan kapsul video yang disasarkan kepada kelompok pengundi tertentu, dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis sentimen serta menghasilkan mesej balas yang relevan.

Usaha ini mungkin tidak dilihat secara terbuka, tetapi kesannya besar dan nyata.

Kemenangan demi kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil pemetaan komunikasi yang teliti, pemilihan mesej yang sesuai dengan emosi dan psikologi pengundi, serta penggunaan maksimum terhadap aset digital.

Kami mensasarkan setiap lapisan pengundi dengan mesej yang berbeza untuk setiap segmen demografi, termasuk pengundi hitam yang sebelum ini sering dilupakan.

Dalam masa yang sama, Penerangan UMNO ingin mengingatkan bahawa perjuangan ini bukan tentang menaikkan seorang individu semata-mata. Bukan untuk meraih glamour atau nama.

Fokus utama kami adalah memperkukuh seluruh sistem dan jentera penerangan parti. Ini bukan masa untuk jualan peribadi. Ini masa untuk jualan pasukan. Setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja kolektif.

Daripada cybertrooper akar umbi yang pantas mengangkat isu, pasukan penyelidik naratif, hinggalah pengarah komunikasi lapangan yang menjadi tulang belakang setiap kempen, semua memainkan peranan penting. Inilah kekuatan sebenar Penerangan UMNO.

Misi kami: Setiap ahli UMNO adalah jentera penerangan UMNO.

Berbeza dengan pihak lawan yang masih bergantung kepada provokasi terbuka dan drama politik, kami faham bahawa dalam dunia hari ini, pengundi semakin bijak. Mereka tidak lagi mudah diperdaya oleh naratif kosong. Mereka menilai penyelesaian, kestabilan dan hala tuju yang jelas.

Dan itulah yang kami tawarkan. Bukan dengan kata-kata kosong, tetapi dengan hasil.

Peranan kami bukan hanya untuk bercakap. Ia lebih besar daripada itu. Kami mengarah persepsi, membaca medan, mengenal fitnah dan membina semula naratif. Kami melihat kelemahan lawan dan mendedahkannya secara tersusun.

Itulah seni perang maklumat sebenar.

Kepada mereka yang mempertikai kononnya Penerangan UMNO senyap atau tidak agresif, tanyalah semula. Adakah anda benar-benar faham perubahan landskap politik hari ini? Atau masih terperangkap dalam romantisisme zaman pentas dan mikrofon?

Kerja kami mungkin tidak dirakam kamera, tetapi kesannya dapat dirasai hingga ke peti undi.

Bukan siapa paling bising yang menang. Tetapi siapa yang paling tersusun dan berstrategi. Dan Penerangan UMNO memilih untuk menang. Bukan untuk bersorak.

Dalam politik, kita perlu memujuk orang untuk memberi undi. Strategi pemimpin ‘serang’ kenyataan antara satu sama lain telah berakhir dan rakyat semakin jelak dengan tayangan drama sedemikian.

Nota kaki: Hanya kerana anda tidak berada dalam sistem, tidak dilibatkan dalam perancangan, atau tidak menerima bayaran, tidak bermakna kerja itu tidak berjalan. Ramai yang bekerja di barisan hadapan tidak memakai tag nama. Tetapi merekalah yang mengangkat kemenangan. Jangan nilai gerak kerja hanya berdasarkan siapa yang anda nampak atau kenal.

Lihat keputusan setiap pilihan raya kecil (PRK) bermula daripada PRK Pelangai.

Raziz Rashid
Pengarah Komunikasi Strategik kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit