Jangan Terikut Provokasi PH, Tunjukkan Kematangan Kita Parti Politik Berwibawa – Shamsul Anuar

SEMENYIH, 2 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berharap jentera parti tidak terikut-ikut dengan provokasi pelbagai pihak yang akan cuba mencari ruang pada hari mengundi, hari ini dan mengingatkan jentera agar melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang.

“Harap jentera Barisan Nasional (BN) bersama jentera Pas dan rakan-rakan parti komponen lain dapat bekerja mengikut peraturan sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita mesti menunjukkan kematangan kita sebagai parti politik yang berwibawa dan jangan terikut-ikut dengan parti kerajaan yang masih lagi tidak dapat mengubah cara dan pendekatan mereka walaupun sudah menjadi kerajaan.

“Kita faham tentu ada provokasi pelbagai pihak pada waktu ini untuk mencari ruang supaya kita melakukan kesalahan. Jadi berhati-hati dan saya harap jentera kita dapat mengikut peraturan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau melawat sekitar pusat pengundian di Sekolah Menengah Bandar Seri Putra dan bertemu dengan perayu undi parti.

Shamsul Anuar seterusnya berkata jentera parti bekerja dengan baik pada hari ini bermula daripada awal pagi dan ini tentunya menggambarkan gerak kerja serta perancangan yang dibuat sebelum ini berjalan dengan baik.

“Kepada pengundi terus keluar… walaupun pagi ini cuaca baik jangan tunggu sampai petang supaya kita keluar semua. Jentera kita baik daripada BN dan Pas Alhamdulillah… perayu-perayu undi kita… JR kita… Pemuda… Wanita dan Puteri bergerak dengan baik serta harap pengundi dapat dikeluarkan dengan baik,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.