Hentikan Naratif Sempit ‘Parti Malaya’ Atau ‘Parti Lokal’
KOTA BELUD, 8 April – Naratif sempit seperti ‘parti Malaya’ atau ‘parti lokal’ perlu dihentikan, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Belud Samri Moksan.
Menurutnya, Negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah tonggak Persekutuan Malaysia yang harus bersatu di bawah semangat perpaduan.
“Segelintir pihak terus memanipulasi pemikiran rakyat demi kepentingan politik jangka pendek.
“Rakyat Sabah tidak harus dijadikan mangsa permainan persepsi. Fokus kita adalah pembentukan kerajaan negeri yang stabil, progresif dan berwibawa,” kata Timbalan Pengerusi Biro Sukan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah itu dalam satu kenyataan.
Jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal selari dengan dasar Kerajaan Persekutuan sambil memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara adil dan tanpa prejudis.
“Kepentingan rakyat Sabah mesti menjadi asas utama, dan sebarang konspirasi politik dangkal harus ditolak.
“UMNO/BN bersedia untuk Sabah ke arah masa depan yang lebih cerah berlandaskan demokrasi, berteraskan rakyat.
“UMNO/BN adalah parti berpengalaman dan berwibawa dalam menerajui pentadbiran negara,” katanya lagi.
Ulasnya lagi, pembentukan Kerajaan Perpaduan UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) atas nasihat Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong ketika itu membuktikan UMNO adalah sebuah parti yang berpengalaman serta masih releven.
Justeru itu katanya, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kerjasama ini wajar diteruskan untuk memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negeri.
Tambahnya juga, pemimpin UMNO/BN di Sabah adalah anak jati yang memahami aspirasi rakyat dan komited membela kepentingan negeri ini. – UMNO ONLINE