Proses Pemeriksaan Puspakom Tak Selari, Rakyat Terbeban – Fatmi Che Salleh
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Dasar kerajaan mesti selari dan diselaraskan dengan baik agar rakyat tidak terbeban dengan prosedur yang tidak masuk akal, tegas Senator Dewan Negara, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.
Ini kerana katanya, proses pemeriksaan Puspakom yang disifatkan sebagai tidak praktikal dan membebankan pemilik kenderaan, terutamanya berkaitan dengan penggunaan cermin gelap.
Jelasnya, kewajaran proses pemeriksaan yang mewajibkan pemilik menanggalkan cermin gelap sebelum kenderaan dilulus tukar hak milik.
“Apabila rakyat ingin melakukan penjualan kereta tersebut, kereta perlu melalui proses semakan Puspakom untuk tukar nama pemilik.
“Perkara pertama yang dilakukan oleh Puspakom adalah dengan koyak ataupun cabut tinted tersebut. Kalau tak cabut tinted, tak lulus pemeriksaan Puspakom.
“Setelah lulus semakan Puspakom, pemilik perlu sekali lagi memasang tinted tersebut. Ini adalah satu perbelanjaan yang tidak wajar memandangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membenarkan penggunaan cermin gelap tersebut dan kereta itu mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Negara pada perbahasan menjunjung Kasih Titah Diraja.
Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu menjelaskan bahawa dasar dan pelaksanaan perlu ‘synchronized’ agar tidak bercanggah antara satu agensi dengan agensi lain.
“Kerajaan harus memastikan setiap peraturan yang dikenakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan menambah kos dan beban yang tidak perlu.
“Puspakom yang diberi mandat oleh kerajaan perlu mengikut arahan kerajaan walaupun ianya swasta. Perkara sebegini menjadi kebingungan oleh rakyat akibat tiada keseragaman dalam pelaksanaan dasar,” katanya lagi.
Ujarnya, dasar yang baik memerlukan pelaksanaan yang mantap jika agensi kerajaan tidak selari, rakyat yang akan menanggung beban.
Untuk rekod, JPJ telah meluluskan penggunaan cermin gelap, sebagaimana dasar JPJ 2019, ketelusan cahaya yang dibenarkan bagi cermin hadapan 70 peratus, manakala cermin sisi 50 peratus, dan cermin belakang 0peratus ketelusan cahaya.
Mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan bagaimanapun boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap dengan cara memohon melalui pos atau portal JPJ. – UMNO Online