Malaysia Sokong Pemulihan Dan Pembinaan Semula Syria
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Malaysia menegaskan akan kepentingan penglibatan semua pihak untuk menjayakan usaha proses damai ini dan mengembalikan keamanan, kestablilan di Syria, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO itu juga menyeru agar semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan resolusi-resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB serta meningkatkan usaha diplomasi untuk mencapai kestabilan yang berkekalan.
“Secara lazimnya, Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan dan tidak mencampuri urusan dalaman negara lain. Malaysia dengan ini mengharapkan agar Kerajaan Interim ini dapat melaksanakan mandatnya dengan adil dan inklusif demi kepentingan rakyat Syria.
“Malaysia juga akan menyokong usaha damai untuk penyelesaian yang menyeluruh, berdasarkan prinsip hak asasi manusia, keadilan dan keamanan yang mampan,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menjawab persoalan daripada Manndzri Nasib (Tenggara-BN) yang meminta menyatakan pendirian dan perancangan Malaysia terhadap Kerajaan interim Syria berikutan kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember 2024.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata sebagai negara yang komited terhadap kesejahteraan global, Malaysia bersedia memainkan peranan konstruktif dalam menyokong pemulihan dan pembinaan semula Syria.
Katanya dalam hal ini, Malaysia terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria, dengan fokus kepada sektor kesihatan, pendidikan dan penyediaan keperluan asas. – UMNO Online