Agong Perkenan Enam Akta Diluluskan Sidang Parlimen Lepas
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan enam akta diluluskan Mesyuarat Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 14 Oktober hingga 12 Disember lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan perkara itu sebelum memulakan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, akta itu ialah Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025, Akta Perkongsian Data 2025 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025.
Selain itu, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025, Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2025 dan Akta Pemegang Amanah (Pindaan) 2025. – Bernama