PPRS: Usaha Kerajaan Bantu Rakyat Keluar Dari Kemiskinan – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan, kata Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pembinaan projek tersebut adalah hasil daripada duit rakyat yang dibelanjakan untuk insan-insan memerlukan.

“Alhamdulillah, hari ini saya bersama dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun, Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim bersama pengurus GIATMARA kawasan dan pemimpin-pemimpin setempat bersama dengan kontraktor.

“Hari ini kita buat penyerahan kunci untuk enam buah rumah PPRS yang telah selamat dibina dan siap untuk diduduki. Saya telah melawat enam buah rumah ini, alhamdulilah semuanya sudah siap, lengkap dan ada yang sudah diduduki.

“Kita rasa berbangga sebab kontraktor yang dilantik pun dapat menyiapkan rumah-rumah ini dengan cepat. Paling penting, duit rakyat yang kita belanjakan untuk orang-orang memerlukan ini dapat disalurkan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui sejurus selepas penyerahan tersebut.

Jelasnya, terdapat lebih 1,800 buah rumah baharu akan dibina pada tahun ini dengan kos sebanyak RM79,000 untuk semenanjung dan RM89,000 bagi Sabah serta Sarawak.

“Rumah yang kita bina pada kali ini berharga RM56,000. Tapi untuk rumah PPRS yang baharu selepas ini kita akan ‘rebrand’ dengan nama Perumahan Rakyat Sejahtera. Harga rumah untuk Perumahan Rakyat Sejahtera ini adalah sebanyak RM79,000 di semenanjung dan RM89,000 di Sabah serta Sarawak.

“Kita jangkakan untuk tahun ini, lebih kurang dalam 1,800 buah rumah akan dibuat dan dibina baharu. Untuk baiki rumah, ia menelan kos sebanyak RM20,000 sebuah rumah.

“Ini semua adalah duit dari rakyat, kita sebarkan di bawah untuk keperluan rakyat setempat yang memerlukan. Saya rasa usaha yang telah dimulakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini diharap dapat memberikan kenikmatan dan juga keselesaan kepada semua penerima,” katanya lagi.

Ujarnya, kerajaan telah menyasarkan untuk menjayakan misi sifar miskin dan ia mungkin dapat dicapai sebelum tamat penggal pemerintahan kali ini.

“Permohonan memang banyak. Ada yang memohon melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang dilantik oleh kerajaan pusat. Ada juga yang memohon melalui ‘online’ terus kepada KKDW. Ada juga yang diusahakan oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian.

“Rumah-rumah ini kalau kita nak membuat semua memang tidak mampu. Tetapi kerajaan menyasarkan untuk kita sifar miskin. Jadi sebelum habis penggal ini, saya rasa kita boleh capai untuk selesaikan di dalam jadual e-kasih yang ada untuk rakyat miskin ini… yang tidak ada rumah, kita akan bagi rumah. Ini adalah usaha yang untuk kita keluarkan rakyat daripada kemiskinan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Negeri Kelantan dan Sabah mempunyai jumlah pemohon yang tertinggi dari negeri-negeri lain untuk projek perumahan tersebut.

“Permohonan tertinggi adalah dari Negeri Kelantan dan Sabah. Kita juga agihkan bajet yang tertinggi kepada mereka. Ini disebabkan pembangunan di Negeri Kelantan ini amat mundur. Jadi, kerajaan pusat terpaksa membantu dengan duit kerajaan pusat untuk membina rumah-rumah ini.

“Ini adalah usaha-usaha kerajaan untuk membantu rakyat yang memang memerlukan. Kalau kita tengok, miskin bandar dan miskin kampung ini adalah dua perkara yang berbeza. Kalau macam miskin bandar, kita ada rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kita sewakan dengan harga RM250, RM125.

“Tetapi di kampung ini, selalunya mereka akan ada tanah. Jadi, dengan tanah yang ada daripada keturunan ataupun diwarisi, kita boleh bina rumah dengan harga sedemikian. Jadi, kita minta agar kerajaan negeri tak kira sesiapa yang memerintah agar memudahkan rakyat untuk mendapatkan tanah supaya kita boleh tolong untuk bina rumah,” katanya lagi.

Turut hadir ke program lawatan dan penyerahan kunci tersebut adalah Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun, Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dan Pengarah GIATMARA Negeri Kedah, Zubir Yahaya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit