Laporan Bank Dunia Beri Realiti Membimbangkan, Bukan Sekadar Cabaran Ekonomi Tetapi Sosial Dan Politik Negara
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata Laporan Bank Dunia baru-baru ini yang memberikan realiti bahawa enam daripada 10 rakyat Malaysia berisiko tercicir daripada arus pemodenan dan peningkatan taraf ekonomi amat membimbangkan.
Beliau menyifatkan ia bukan sekadar cabaran ekonomi, tetapi juga cabaran kestabilan sosial dan politik negara.
“Negara kita, kini berada di ambang status negara berpendapatan tinggi. Namun, kita perlu bertanya apakah maknanya negara berpendapatan tinggi jika majoriti rakyat masih bergelut dengan gaji mendatar?
“Kalau kita rujuk kepada Laporan Bank Dunia baru-baru ini yang memberikan realiti yang membimbangkan. Enam daripada 10 rakyat Malaysia berisiko tercicir daripada arus pemodenan dan peningkatan taraf ekonomi jika tiada langkah konkrit bagi mengurangkan ketidaksamarataan dan meningkatkan mobiliti sosial.
“Sebagaimana yang dihujahkan oleh Profesor Dr. Keun Lee dari Seoul University Korea dalam bukunya Innovation-Development Detours for Latecomers, negara-negara membangun tidak boleh sekadar meniru model pembangunan negara maju tanpa mengambil kira konteks tempatan. Maka itu kita mesti berani mencipta haluan kita sendiri,” katanya demikian pada sesi Dewan Rakyat hari ini.
Memberikan tumpu kepada negeri Johor, beliau menyentuh berkenaan hal agenda hijau dan tenaga boleh baharu.
Hasni berkata Johor ingin berada di barisan hadapan dalam memperkasakan agenda hijau serta menerajui pelbagai peluang ekonomi hijau, lebih-lebih lagi berjiran dengan Singapura yang memerlukan bekalan tenaga hijau.
Menurut beliau, melalui Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor, tiga polisi penting telah dirangka iaitu Pelan Tenaga Boleh Baharu Johor 2030 dan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Tenaga Boleh Baharu Johor.
“Melalui pelan tersebut Johor akan meneroka peluang eksport dengan bekerjasama dengan Singapura untuk membangunkan floating solar park di Johor. Projek ini dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga solar sebagai sumber tenaga mampan, sekali gus menyumbang kepada matlamat negara dalam mencapai Net-Zero Carbon 2050.
“Sehubungan itu, diharapkan kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan framework bagi pengeksportan tenaga boleh baharu dipercepatkan supaya Johor boleh eksport tenaga boleh baharu ke negara jiran, Singapura dilaksanakan,” ujar beliau.
Sementara itu, polisi kedua ialah Pelan Pengangkutan Hijau Negeri Johor dan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) demi memartabatkan mobiliti hijau serta Pelan Perubahan Iklim Johor 2030 dengan penekanan diberikan kepada aspek Mitigasi Banjir.
Mengulas lanjut beliau berkata sebagai negeri yang pesat membangun, Johor ingin memastikan polisi hijau ini selari dengan peringkat nasional, termasuk Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang diharap dapat dibentang di Parlimen pada tahun ini.
“Ini akan memperkasakan peranan negeri apabila membentuk enakmen perubahan iklimnya, sekaligus menggalakkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu khasnya dan industri hijau amnya.
“Maka saya ingin bertanya sama ada kementerian berkaitan bersedia memberikan insentif tambahan kepada syarikat dalam Zon Ekonomi Khas yang mengamalkan ekonomi kitaran dan teknologi hijau melalui Green Incentive Tax Allowance (GITA).
“Jika ini dapat dilaksanakan, Johor bukan sahaja akan mencipta pekerjaan baharu, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu yang lebih lestari untuk masa depan,” ujar beliau. – UMNO Online