KESUMA Tubuh Majlis Perundingan, Tangani Isu Berkaitan Pekerja Gig – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menubuhkan Majlis Perundingan untuk menangani isu berkaitan pekerja gig secara inklusif dan konstruktif.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KESUMA mengekalkan pendekatan yang seimbang dalam mengawal selia industri gig.
“Pada masa ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengekalkan pendekatan yang seimbang dalam mengawal selia industri gig dan belum merancang memperkenalkan algoritma khas untuk menentukan kadar upah yang berpatutan.
“Ini kerana sifat asas industri gig yang fleksibel perlu dipelihara, sementara kawal seliaan terlalu ketat berisiko mengganggu ekosistem gig yang telah sedia beroperasi dengan dinamiknya yang tersendiri.
“Untuk makluman Ahli-ahli Dewan Yang Mulia, pada 22 November 2024 Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk KESUMA menubuhkan Majlis Perundingan seperti yang terdapat di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Majlis Perundingan tersebut bakal menjadi platform perbincangan strategik pelbagai perkara termasuk algoritma.
“Majlis ini akan berfungsi sebagai platform perbincangan strategik untuk menangani isu-isu berkaitan pekerja gig secara inklusif dan konstruktif termasuk perkara berkaitan algoritma.
“Perbincangan akan dilaksanakan secara tripartite, melibatkan penyertaan wakil pekerja gig, entiti kontrak, penyedia platform, kerajaan dan ahli-ahli lain yang difikirkan perlu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pendekatan tersebut diadakan dengan tujuan mewujudkan keseimbangan di antara pekerja gig dan entiti kontrak.
“Majlis ini bertanggungjawab mengemukakan cadangan dan pandangan yang bersesuaian kepada pihak kerajaan dari pelbagai aspek seperti kadar pendapatan minimum, formula yang digunakan berkaitan dengan kadar pendapatan serta standard minimum.
“Sekiranya cadangan tersebut diterima dan diluluskan, pewartaan akan dibuat oleh Menteri Sumber Manusia. Pendekatan ini bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan di antara pekerja gig dan entiti kontrak atau penyedia platform untuk mengekalkan sifat dinamik serta fleksibiliti ekosistem industri gig di Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online