Peruntukan Pembangunan Tahunan Negeri Sabah Tidak Digunakan Sebaiknya – Suhaimi

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Peruntukan tahunan untuk membangunkan Negeri Sabah yang telah disediakan oleh Kerajaan Pusat tidak digunakan sebaiknya, malah bagi kepentingan peribadi.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, Kerajaan Pusat dan Negeri perlu bersedia dengan dasar yang proaktif serta fleksibel dalam menghadapi cabaran mendatang.

“Dalam menghadapi cabaran yang mendatang ini, Kerajaan Pusat dan Negeri perlu bersedia dengan dasar yang proaktif serta fleksibel.

“Langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan pusat, seperti pengukuhan dasar fiskal dan galakan pelaburan asing, harus dipastikan memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua Negeri-negeri.

“Selain itu, Kerajaan Pusat juga harus mengutamakan penambahbaikkan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik terutamanya bagi Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah berkata, segala usaha kerajaan Persekutuan diragui dapat diterjemahkan dengan baik di peringkat Kerajaa Negeri khususnya Sabah.

“Namun begitu, satu persoalan sering timbul adalah sama ada usaha yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini akan diterjemahkan dengan baik di peringkat negeri khususnya Negeri Sabah.

“…atau, seperti kebiasaan, Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui akan tampil dengan pelbagai alasan mengapa sesuatu dasar itu tidak boleh atau gagal dilaksanakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru agar segala usaha Kerajaan Pusat dapat diterapkan secara menyeluruh dan efektif di Negeri Sabah.

“Peruntukan tahunan yang telah disediakan tidak digunakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan sebaiknya untuk rakyat, sebaliknya ianya digunakan bagi kepentingan peribadi.

“Oleh yang demikian, saya menyeru agar segala usaha yang telah digariskan oleh Kerajaan Pusat dapat diterapkan secara menyeluruh dan efektif di Sabah. Rakyat Sabah berhak mendapat pembangunan yang setara dengan negeri-negeri lain,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit