Kes Rasuah ADUN Sabah: SPRM, Peguam Negara Perlu Tampil Beri Penjelasan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara perlu tampil memberikan penjelasan berhubung kes rasuah melibat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Ini kerana katanya, kes tersebut telah dibiarkan berlarutan di media sosial dan rakyat keliru mengapa pertuduhan lambat dibuat ke atas pelakunya.

“Drama rasuah Negeri Sabah makin panas. Ia dibiarkan berlarutan di media sosial. Apakah ini ketelusan bentuk baru? Rakyat keliru kenapa lambat buat pertuduhan.

“Kalau kes Datuk Seri Najib, Datuk Seri Zahid dan pemimpin UMNO lain begitu cepat pertuduhan dibuat. Rakyat mahu tahu apa status kes ini. SPRM atau Pejabat Peguam Negara mesti tampil beri penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Beliau yang juga ADUN Rengit turut menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan telus dan tidak bertindak ‘main sorok-sorok’.

“Mungkin juga Pejabat Peguam Negara dan SPRM tidak mahu dituduh buat pertuduhan tergesa gesa, beracun dan dendam. Takut ‘pisang berbuah dua kali’.

“Tetapi apakah itu alasannya atau ada alasan lain? Jangan main sorok-sorok. Daripada perkara ini dibiarkan berterusan panas di media sosial, lebih baik SPRM dan Peguam Negara mohon mahkamah buat ‘gag order’,” katanya.

Pada Khamis UMNO Online melaporkan Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menggesa kerajaan untuk melakukan siasatan terperinci mengenai isu rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Menurutnya, terdapat ugutan telah dikeluarkan terhadap ‘whistleblower’ agar laporan tersebut ditarik balik dan digantikan kepada isu derma politik.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Tegasnya, UMNO Sabah tidak pernah terlibat langsung dalam sebarang rundingan rasuah tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit