Isu Rasuah ADUN Sabah: Bung Moktar Gesa Kerajaan Lakukan Siasatan Terperinci
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menggesa kerajaan untuk melakukan siasatan terperinci mengenai isu rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Menurutnya, terdapat ugutan telah dikeluarkan terhadap ‘whistleblower’ agar laporan tersebut ditarik balik dan digantikan kepada isu derma politik.
“Semalam saya bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee berhubung dengan video viral baru-baru ini. Sudah hampir tiga bulan tetapi tidak ada sebarang keputusan.
“… yang ada hanya kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyatakan bahawa siasatan sudah dilaksanakan dan telah diserahkan kepada Pihak Pendakwa Raya.
“Tetapi semalam MalaysiaKini mendedahkan bahawa terdapat ugutan dan juga cadangan tarik balik daripada ADUN Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, untuk ‘negotiate’ dengan pihak ‘whistleblower’, membuat kenyataan bahawa itu bukanlah rasuah, tetapi derma politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tegasnya, UMNO Sabah tidak pernah terlibat langsung dalam sebarang rundingan rasuah tersebut.
“… dan dikaitkan parti saya pula, UMNO pun turut terlibat. Ini saya tegaskan selaku Ketua UMNO Sabah, kami tidak terlibat langsung dengan rundingan-rundingan sebegini. Mereka yang berunding adalah mereka yang ada kuasa. Mereka harus disiasat secara terperinci.
“Semalam, Datuk Mohd Ariffin telah membuat laporan polis mendakwa bahawa ‘whistleblower’ itu adalah palsu. Hari ini pula, ‘whistleblower’ membuat laporan polis semula kepada Mohd Ariffin, mengakui bahawa apa yang dibincang itu adalah benar.
“Jadi, kita rakyat Sabah mahu tahu, sampai bila perkara ini berlerutan. Apakah ada lagi daya usaha oleh pihak polis dan SPRM untuk menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi. Adakah perkara ini memang ada unsur-unsur rasuah ataupun tidak ada?” soalnya lagi. – UMNO Online