Isu Kemasukan Pelarian: Kerajaan Komited Mantapkan Kawalan Keselamatan Maritim

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Kerajaan komited untuk memantapkan lagi tahap kawalan keselamatan maritim susulan kes terbaharu pada Januari 2025 di Langkawi melibatkan kemasukan 196 etnik Rohingya dari Myanmar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, keselamatan perairan negara telah dikawal oleh beberapa agensi.

“Secara keseluruhannya, perairan maritim Malaysia berada dalam keadaan selamat dan terkawal serta tahap kesiapsiagaan kawalan sempadan maritim berada pada tahap yang optimum.Terdapat beberapa tindakan yang telah dilaksanakan.

“Keselamatan perairan maritim Malaysia dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuklah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kekuatan aset kedua-dua agensi tersebut akan dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara berada pada tahap optimum dalam memelihara kedaulatan, keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, OP GUARD 4.0 telah diaktifkan untuk menangani pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya etnik Rohingya Myanmar yang cuba memasuki Malaysia melalui perairan Pulau Langkawi.

“OP GUARD 4.0 telah diaktifkan bagi menangani pencerobohan PATI) khususnya etnik Rohingya Myanmar yang cuba memasuki Malaysia melalui perairan Pulau Langkawi selaras dengan pengarahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Agensi sahabat lain yang terlibat dalam OP GUARD 4.0 adalahTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain bantuan pengoperasian dari TLDM, PPM, PDRM dan JIM, APMM turut menerima bantuan maklumat risikan dari negara jiran, Thailand berkenaan pengesanan bot PATI,” katanya lagi.

Menurutnya, sebanyak tiga buah kapal dan tujuh buah bot telah ditempatkan di kawasan perairan Pulau Langkawi untuk tujuan penguatkuasaan serta rondaan sempadan maritim.

“APMM juga memiliki 237 aset kapal dan bot, lapan pesawat udara, dan 14 RADAR ( Remote Sensor Site) yang sentiasa siapsiaga menjaga perairan negara. Secara keseluruhannya, di kawasan perairan utara Semenanjung Malaysia, APMM memiliki aset maritim sebanyak 39 buah yang merangkumi 12 buah kapal dan 27 bot.

“Daripada bilangan tersebut, sebanyak tiga buah kapal dan tujuh buah bot telah ditempatkan di kawasan perairan Pulau Langkawi bagi tujuan penguatkuasaan dan rondaan sempadan maritim.

“Selain APMM, Pasukan Polis Marin juga turut menyokong pengoperasian di perairan negara dengan jumlah aset 188 termasuk kapal dan bot yang sentiasa mengawal perairan negara supaya berada dalam keadaan selamat dan aman. Ini termasuk 33 aset kapal dan bot rondaan yang bersedia di atur gerak di kawasan perairan utara Malaysia,” katanya lagi.

Ujarnya, APMM juga telah mengoptimumkan penggunaan radar serta meningkatkan keupayaan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang telah selesai dinaiktaraf pada tahun 2023.

“APMM turut mengguna pakai sistem C4ISR yang merangkumi gabungan data-data daripada sistem Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness (MCGMDA), Malaysia Coast Guard Global Maritime Distress Signal System (MCGDMSS), Malaysia Coast Guard Intelligence Information System (MCGIIS), dan Simtem Komunikasi (MCGNET).

“Sistem C4ISR ini baru sahaja lengkap dibangunkan sepenuhnya pada 4 Februari 2025 dan akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada rondaan fizikal malah meningkatkan keberkesanan operasi di kawasan yang sukar dicapai dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan perairan negara seterusnya memastikan ancaman pencerobohan serta isu-isu jenayah maritim dapat ditangani dengan lebih pantas, efektif dan efisien,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut yakin bahawa perairan maritim Malaysia adalah dalam keadaan selamat dan terkawal serta tahap kesiapsiagaan kawalan sempadan maritim berada pada tahap yang optimum.

“Kerajaan yakin secara keseluruhannya, perairan maritim Malaysia adalah dalam keadaan selamat dan terkawal serta tahap kesiapsiagaan kawalan sempadan maritim berada pada tahap yang optimum.

“Ini dapat dilihat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini iaitu pada tahun 2023 dan 2024 yang menunjukkan tiada rekod kemasukan PATI melalui perairan Pulau Langkawi kecuali pada tahun 2025.

“Oleh yang demikian, kerajaan terus komited untuk memantapkan lagi tahap kawalan keselamatan maritim termasuklah di perairan Pulau Langkawi dan di semua kawasan perairan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit