BBC Terus Proaktif Perkukuh Kualiti Perbincangan, Keterlibatan Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menjunjung penuh titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar ahli Parlimen mengelak daripada mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.

Menerusi kenyataan diberikan BBC berpandangan sebagai wakil rakyat, tanggungjawab utama mereka adalah memastikan perbahasan di Parlimen kekal konstruktif, berasaskan data serta tertumpu kepada kemajuan negara, bukan naratif politik yang memecahbelahkan.

“BBC memainkan peranan penting dalam memastikan semak dan imbang dalam kerajaan, bagi menjamin dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Ini termasuk menyuarakan kebimbangan, memberikan maklum balas dan mengkritik dasar kerajaan secara membina apabila perlu.

“Namun seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, tanggungjawab ini harus dilaksanakan dengan penuh tertib, berpandukan fakta serta kepentingan negara, bukan retorik politik semata-mata,” katanya.

Sementara itu dalam usaha membina budaya Parlimen yang lebih matang dan bertanggungjawab, BBC terus proaktif dalam memperkukuh kualiti perbincangan serta keterlibatan ahli Parlimen.

Ianya dilakukan melalui inisiatif seperti Sarapan Bersama Menteri, Friends of Ministry dan taklimat Parlimen yang lebih tersusun membolehkan Ahli Parlimen memahami dasar dengan lebih mendalam, memastikan perbahasan yang lebih bermakna serta berorientasikan penyelesaian.

“Platform ini juga membantu ahli Parlimen menyampaikan maklumat dasar kepada rakyat secara lebih jelas dan berkesan, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan unsur sensasi politik yang tidak wajar.

“Seiring dengan visi Seri Paduka Baginda, kami menyeru semua ahli Parlimen, tanpa mengira latar politik untuk bersama-sama menjunjung integriti Parlimen, mengangkat perbahasan yang berasaskan fakta, serta mengutamakan kepentingan negara melebihi segala-galanya.

“Marilah kita bekerjasama untuk memperkukuh institusi demokrasi dan membina Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan bersatu padu,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit