Pertahan Hak, Kedaulatan Negara… Azalina Junjung Kasih Titah Agong

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk terus memelihara kedaulatan negara.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, ia merupakan titah ingatan untuk para pemimpin terus menjaga, hatta seketul batu karang di lautan.

“Junjung Kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas titah ingatan untuk pimpinan negara mempertahankan hak dan kedaulatan negara walaupun hanya seketul batu karang di lautan. Daulat Tuanku,” katanya.

Hari ini Sultan Ibrahim menggesa kerajaan bertindak tegas bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan negara walaupun ‘hanya seketul batu karang di tengah lautan’.

Bertitah sempena pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim menegaskan tindakan itu boleh diambil melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan.

Menurut baginda, kerajaan perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu serantau dan sempadan negara.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mahu Malaysia yang menjadi pengerusi ASEAN tahun ini menunjukkan keupayaan memimpin dan menentukan hala tuju rantau Asia Tenggara.

Baginda turut bertitah mahukan Malaysia kekal mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan, merujuk kepada situasi di Gaza, Palestin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit