Pulau Batu Puteh: Kedaulatan Negara Tidak Boleh Diperlekehkan

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Exco Pemuda UMNO Bahagian Damansara, Ahmad Tarmizi Che Age merasa kecewa kerana Pulau Batu Puteh menjadi hak Singapura, berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008.

Ini kerana katanya, Perdana Menteri Malaysia kali kedua pada tahun 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk menarik balik permohonan semakan tersebut pada Mei 2018.

Tegasnya, seharusnya Tun Mahathir lebih peka kerana pulau ini adalah simbol kedaulatan dan maruah negara kerana walaupun bersaiz kecil tetapi menjadi simbol penting kepada negara, menunjukkan keupayaan mempertahankan kedaulatan wilayah.

“Pada Jun 2022, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kehilangan Pulau Batu Puteh hanya sebesar meja, bukan masalah besar dan ia sangat tidak boleh diterima akal memandangkan beliau seorang yang tegas dalam menangani isu-isu kedaulatan negara.

“Pulau Batu Puteh seharusnya milik Malaysia, tidak mengira siapa parti yang memerintah dan memerlukan suatu tindakan tegas tetapi diplomatik.

“Tujuannya adalah mempertahankan kepentingan negara tanpa mencetuskan konflik yang tidak perlu, dengan menyatakan pendirian kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh dengan tegas berdasarkan fakta sejarah dan undang-undang antarabangsa,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Tarmizi, ketika Datuk Seri Najib Razak menjawat Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, beliau telah cuba untuk menebus semula kedaulatan Malaysia dengan memanfaatkan ICJ sebagai saluran utama dengan menemukan bukti baru secara professional pada tahun 2017.

“UMNO pada ketika itu melihat perlu ada sokongan dan kesedaran di dalam dan luar negara mengenai hak Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh. Parti ini berusaha untuk mendapat sokongan diplomatik daripada negara jiran dan badan antarabangsa serta meningkatkan kesedaran kepada rakyat mengenai isu ini supaya wujud kesepakatan nasional.

“Datuk Seri Najib Razak telah mengemukakan permohonan semula terhadap Pulau Batu Puteh. Malaysia mengunakan pendekatan diplomatik yang kuat sehingga tidak lansung menjejaskan jalinan baik antara Malaysia dan Singapura.

“Beliau membawa naratif yang cukup konsisten pada ketika itu serta menyatakan fakta melalui saluran diplomatik tanpa menyerahkan kedaulatan dengan mudah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata beliau lagi, Tanah Melayu adalah hak watan walaupun sebiji pasir di hujung kuku apatah lagi Pulau Batu Puteh yang memiliki fungsi yang strategik dari segi maritim, ekonomi dan keselamatan.

“Walaupun Pulau Batu Puteh ini kecil dan tiada penghuni, tetapi ia adalah penyumbang kepada hubungan antarabangsa kerana kepentingan pulau ini memerlukan kerjasama diplomatik antara negara jiran untuk memastikan keselamatan laluan maritin.

“Pulau ini juga mempengaruhi Hak Wilayah dan Ekonomi (EEZ) negara bagi mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber laut seperti perikanan dan sumber bawah laut. Pulau ini menempatkan Rumah Api Horsburgh yang berfungsi untuk membimbing kapal-kapal yang melepasi Selat Singapura,” jelas beliau.

Ujarnya, Pulau Batu Puteh menjadi salah satu laluan kapal yang sibuk di dunia serta mengurangkan risiko serta ancaman penyeludupan, lanun dan sebagainya.

“Pulau Batu Puteh menjadi salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia dan mengurangkan risiko dengan memberikan panduan navigasi kawalan strategik terhadap kawalan keselamatan.

“Ia juga berfungsi sebagai titik pemantaun untuk mencegah ancaman seperti lanun, penyeludupan dan aktiviti maritim yang tidak sah,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit