KPWKM Pertimbang Cadangan Pengasuh Bergerak, Utama Keselamatan Kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyedari beberapa keperluan baharu termasuk perkhidmatan penjagaan kanak-kanak iaitu pengasuh bergerak.
Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah tersebut masih lagi dalam pertimbangan, namun ia dilihat antara langkah terbaik untuk memastikan keselamatan kanak-kanak diutamakan.
“Kementerian memang tengah meneroka satu konsep baru iaitu pengasuh bergerak berdasarkan permintaan dan keperluan yang telah ditentukan oleh ibu bapa ataupun penjaga itu sendiri.
“Kami sedar seperti mana perkhidmatan-perkhidmatan lain perkhidmatan jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak juga harus seiring dengan keadaan dan juga gaya hidup semasa.
“… tapi yang penting adalah penekanan kepada kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak itu sendiri.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) di Dewan Rakyat hari ini berkenaan pandangan KPWKM berkaitan perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak bergerak yang dijalankan oleh seseorang individu yang bukan sebagai satu pusat.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, kaedah perkhidmatan pengasuh bergerak ini wajar untuk diteliti supaya ia dapat diperluaskan bagi mengelakkan kejadian kecuaian termasuk meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan dan jagaan orang dewasa.
“Penambahbaikan melalui maklum balas itu perlu dan yang penting sekali adalah aspek keselamatan kanak-kanak.
“Ini adalah keutamaan untuk mengelakkan kejadian kecuaian, meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan ataupun mengabaikan kanak-kanak tanpa diawas,” ujar beliau. – UMNO Online