BN Depani Landskap Politik Baharu… Ikut Trend Semai Perjuangan – Nur Ellena
KUALA LUMPUR, 17 Dis – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nur Ellena Mohamed Razif menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan parti politik telah membawa banyak perubahan kepada negara dengan semangat perjuangan utuh oleh para pendukungnya.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Damansara bagaimanapun berkata meskipun banyak jasa dilakukan, namun BN perlu bergerak seiring dengan landskap politik pada masa kini yang semakin mencabar.
“Terlalu banyak jasa BN dalam membentuk pembangunan negara melalui pembangunan, melahirkan modal insan melalui agensi-agensi membantu rakyat supaya negara dapat berdaya saing dan bergerak maju kehadapan.
“BN perlu pantas mengikut trend dan peredaran arus semasa untuk menarik minat kesemua lapisan masyarakat.
“Tonjolkan wajah baharu dan cari kepelbagaian dalam merencanakan sesuatu agar parti dilihat releven sepanjang zaman,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Nur Ellena dalam pada itu turut sama berharap BN untuk kembali berada di posisi terbaik sebagai parti yang membawa aspirasi rakyat di negara ini.
“Saya berharap BN dapat kembali mengungguli arena politik di Malaysia kerana bertahun sudah kita bertapak, dan dapat dilihat hasilnya. Janganlah kita berentak kerana yang rugi kita juga akhirnya,” ujar beliau.
Terdahulu, BN pada minggu lalu menyambut jubli emas ke-50 yang menyaksikan penganjurannya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dilaksanakan dengan meriah.
Sambutan ini dilihat membawa signifikan tersendiri apabila menyuntik kembali semangat kebersamaan dalam kalangan ahli-ahli parti komponen demi perjuangan untuk terus membela nasib rakyat. – UMNO Online