Polis Sentiasa Pantau, Jalankan Operasi Kekang Kegiatan Judi Dalam Talian – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang dan berterusan dalam menangani masalah judi dalam talian (online).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi tahun 2022, sebanyak 888 serbuan berjaya dilaksanakan oleh pihak PDRM melalui ‘OP DADU’ di Melaka yang melibatkan tangkapan seramai 1,004 orang dengan kerjasama agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut beliau Op yang sama dilaksanakan bagi tahun 2023 dan sebanyak 817 serbuan berjaya dilaksanakan di Melaka melibatkan tangkapan seramai 932 orang, manakala Op Dadu yang dilaksanakan di negeri sama sehingga September 2024 pula sebanyak 707 serbuan berjaya dilaksanakan melibatkan tangkapan seramai 767 orang.

“Kementerian melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang dan berterusan dalam menangani masalah judi dalam talian (online). Di negeri Melaka, hasil siasatan mendapati terdapat penglibatan pelajar berumur antara 13 hingga 17 tahun serta remaja berumur antara 18 hingga 21 tahun dalam kegiatan perjudian dalam talian dan Calling Centre (CC)

“Pada tahun 2021, seramai 47 orang pelajar dan 132 orang remaja di Melaka didapati terlibat. Manakala pada tahun 2023 (sehingga Ogos), seramai 23 pelajar dan 70 remaja dikenal pasti terlibat dalam aktiviti ini.

“Di negeri Johor, statistik pada tahun 2023 menunjukkan penglibatan 19 orang pelajar dan 121 orang remaja. Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, sebanyak 66 pelajar dan 632 remaja telah dikenal pasti terlibat di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu,  Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini tindakan perundangan yang diambil oleh pihak Kementerian bersama agensi lain terutama pihak MCMC bagi mengatasi judi online yang berlaku dalam negeri Melaka khususnya.

Dr Shamsul seterusnya menambah pihak Polis telah mengambil beberapa langkah untuk mengesan dan membanteras kegiatan ini, sama ada yang dijalankan oleh individu perseorangan mahupun kumpulan sindiket.

“Antaranya adalah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi sekatan laman sesawang perjudian di bawah Sek. 263 (2) Akta Komunikasi Multimedia.

“Pada msa yang sama turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat bekalan air untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air ke atas premis yang sering digunakan oleh sindiket perjudian,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.