Kerajaan Madani Serius Tangani Isu Buli Yang Kian Membarah – Azalina Othman

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024 yang bertujuan memenangi isu buli dalam talian dan luar talian secara komprehensif.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata pindaan ini adalah langkah penting yang diambil oleh Kerajaan Madani untuk melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman buli yang semakin meningkat.

Menurut beliau, isu buli ini merupakan perkara yang serius dan kini kian berleluasan sehingga menjadi ancaman besar dalam dunia digital.

“Ini adalah bagi menjunjung titah Yang di Pertuan Agung (YDPA) yang telah menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap isu buli yang semakin membarah dalam masyarakat. Baginda menegaskan bahawa budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan dan perlu ditangani dengan tegas.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan ketegasan Kerajaan Madani dalam menangi jenayah buli dan menekan isu buli tidak boleh dipandang ringan dan memberi impak psikologi seperti penderaan mental hingga mengancam nyawa dan keselamatan individu yang mengalaminya.

“Negara telah dikejutkan dengan kes-kes tragis melibatkan pempengaruh media sosial yang telah meninggal dunia akibat tekanan yang melampau dari buli siber. Beliau menerima ugutan dan ancaman melalui platform tiktok termasuk penyebaran maklumat palsu yang menjatuhkan reputasinya,” katanya ketika membahas di Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Pengerang itu menambah bahawa tertuduh dalam kes itu turut didakwa atas mengeluarkan kata-kata kesat dengan niat membangkitkan kemarahan namun hukuman yang dikenakan hanya denda maksimun RM100 dibawah seksyen 14 akta kesalahan-kesalahan kecil 1955.

“Hukuman yang ringan ini jelas tidak setimpal dengan nyawa yang hilang akibat kesan buli. Kita perlu sedar bahwa satu nyawa yang hilang akibat buli melampau memberikan impak yang cukup besar, lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga masing-masing.

“Hukuman yang tidak setimpal ini jelas menunjukkan kelemahan dalam perundangan yang tidak memberikan keadilan sewajarnya kepada mangsa buli siber.

“Kes ini menuntut memperkenalkan pindaan yang lebih tegas termasuk menetapkan hukuman yang lebih berat kepada pelaku buli siber agar kes yang serupa tidak berulang lagi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata Azalina, sebagai contoh tragedi yang berlaku di Universiti Pertahanan Malaysia baru-baru ini apabila seorang pelatih mengalami keretakan tulang rusuk, tulang belakang selepas dipijak oleh pelatih senior.

Jelasnya lagi, ini terjadi selepas peristiwa malang dan meruntun jiwa yang berlaku dan masih segar diingatan semua bagaimana pembuli-pembuli telah menyebabkan arwah menderita beberapa hari akibat dilecur sehingga menyebabkan kematiannya.

“Budaya buli yang berakar umbi mencerminkan kegagalan sistem yang sedia ada untuk mencegah insiden demikian. Oleh itu pindaan undang-undang ini memperkenalkan langkah pengawasan lebih ketat, lapuran segera dan hukuman berat kepada pelaku disamping mewajibkan program kesedaran dan sokongan kaunseling di institusi-institusi khas,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.