HNDP 2040: Usaha Baharu Kurangkan Kesesakan Jalan Raya Seluruh Malaysia – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 10 Dis – Kementerian Kerja Raya telah menerbitkan pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya atau Highway Network Development Plan (HNDP) yang meliputi seluruh Malaysia bertujuan untuk mengenalpasti keperluan menaik taraf jalan sedia ada atau membina jalan baharu yang melibatkan jalan persekutuan dan jalan utama negeri.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelaksanaan cadangan projek yang dikenalpasti dalam HNDP ini dijangka akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mewujudkan rangkaian jalan raya yang lebih efisien.
“Kementerian Kerja Raya kini sedang menjalankan kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 atau Highway Network Development Plan 2040 (HNDP 2040) bagi menggantikan HNDP fasa dua (2) iaitu (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) yang akan tamat pada tahun 2025.
“Kajian HNDP juga merangkumi pelbagai aspek kajian seperti isipadu trafik, guna tanah, ekonomi, alam sekitar dan sosioekonomi bagi mewujudkan rangkaian jalan raya yang lebih efisien melibatkan negeri dan wilayah-wilayah yang berkaitan.
“Proses kemajuan kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) setakat ini ialah sebanyak 95.11 peratus (sebenar) berbanding 92.10 peratus (jadual) dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2024 ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab Ahli Parlimen Lubuk Antu, Roy Angau Anak Gingkoi yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status terkini Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta sejauh manakah impak pelaksanaan pelan tersebut dalam menambah baik rangkaian jalan raya di Sarawak termasuk dari segi kualiti, kesalinghubungan, keselamatan dan keselesaan pengguna.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan pembangunan ekonomi kekal sebagai agenda utama Kajian HNDP 2040 dalam merancang rangkaian jalan raya di wilayah ini.
“Rangkaian jalan raya di Sarawak kelak akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kos pengangkutan, memudahkan pengeluar luar bandar untuk mengakses pasaran yang lebih besar dan seterusnya meningkatkan jualan serta pendapatan petani dan perniagaan tempatan.
“Infrastruktur pengangkutan yang lebih baik juga mendorong pembangunan industri bukan pertanian seperti pembuatan dan runcit, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor pertanian,” katanya lagi.
Beliau juga Ahli Parlimen Pontian harap hubungan ini dapat menarik pelabur luar, industri baru dan sebagainya.
“Kesalinghubungan yang ditingkatkan menarik pelaburan luar yang mendorong penubuhan perniagaan dan industri baru.
“Ia serta memperbaiki akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain serta dapat meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan,” ujarnya. – UMNO Online