Jalaluddin Luah Kebimbangan Persediaan Pelajar SPM Terjejas Akibat Banjir
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan kebimbangan beliau dengan persediaan para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa buah negeri untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata ini kerana musibah tersebut sedikit sebanyak mengganggu persediaan kerana kerosakkan buku rujukan dan alatan tulis yang musnah malah ada yang tidak hadir.
“Di Negeri Sembilan, saya pergi ke kawasan banjir di hujung minggu hari tu dan melihat dari segi pemikiran anak pelajar-pelajar nak masuk ke peperiksaan ini tidak bersedia.
“Sebab barang (alat tulis) tiada termasuk dari segi pemikiran memang tak bersedia soal peralatan dan kesusahan keluarga lepas itu tak bersedia nak menghadapi peperikasaan ini,” katanya.
Jalaluddin berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau lagi, perkara seperti ini sudah tentunya akan memberi kesan kepada jumlah ketidakhadiran SPM seperti tahun lalu yang mencatatkan angka membimbangkan.
“Menteri nak teruskan (peperiksaan) silakan tetapi pelajar yang tidak menduduki peperiksaan ni akan bertambah.
“Apa akan jadi pada pelajar yang tidak menduduki SPM tahun ini kerana banjir? Adakah mereka dianggap tidak hadir ke bilik peperiksaan? Atau diberi peluang kedua untuk menduduki peperiksaan selepas banjir?” soal beliau.
Sebelum ini media melaporkan, calon yang terjejas akibat banjir di tiga buah negeri tetap bersedia untuk menduduki ujian lisan Bahasa Melayu peperiksaan SPM meskipun berdepan kesukaran dan ketidakstabilan emosi ketika menetap di pusat pemindahan sementara (PPS).
Kelam kabut, alat tulis dan buku rujukan hilang selain mengulang kaji dalam keadaan bising tidak mematahkan semangat mereka untuk menduduki SPM yang bermula hari ini.
Terdahulu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan calon SPM yang sekolah mereka terjejas akibat banjir boleh menduduki mana-mana pusat peperiksaan yang ditetapkan.
Beliau berkata, peperiksaan tetap berjalan seperti biasa termasuk di negeri terjejas bencana itu bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan calon SPM. – UMNO Online