Jawapan Untuk Muhyiddin… Siapa Sebenarnya Cuba Bersilat Dan Hendak Lepas Perangkap Sendiri?

1. Pepatah Melayu ada menyebut “mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih”. Pepatah ini cukup sesuai ditujukan kepada mereka yang selalu menganggap diri sendiri suci, manakala pihak lain dilihat buruk atau kotor.

2. Selain itu, ada juga pepatah lain yang memberi maksud yang sama, antaranya “meludah ke langit, muka juga yang basah”. Kedua-dua pepatah ini jika diperhatikan amat sinonim dengan karakter Presiden BERSATU dan bekas Perdana Menteri Ke-8 iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

3. Justifikasi ini jelas apabila Muhyiddin cuba menuduh Perdana Menteri “bersilat” ketika menjawab soalan mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara baru-baru ini.

4. Muhyiddin juga mendakwa bahawa beliau juga tidak pernah membawa anak-anak menaiki kapal terbang untuk acara rasmi kerajaan di luar negara semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

5. Sebelum Muhyiddin menuduh Perdana Menteri “bersilat” kononnya untuk lepaskan dari perangkap sendiri, beliau seharusnya melihat balik permainan “silat” beliau sendiri semasa berceramah di DUN Nenggiri sehingga membuka rahsia di mana “duit rasuah” masuk ke akaun parti sendiri dan lebih buruk permainan “silat” tersebut mengaitkan Institusi Diraja.

6. Di dalam hal ini, yang “bersilat” adalah kamu (Muhyiddin). Kamu bermain dengan emosi dan persepsi untuk “menegakkan benang yang basah”. Konon kamulah terpaling suci. Kamu gunakan platform tidak rasmi (pentas politik) untuk sebarkan propaganda kamu sendiri. Akhirnya kamu terperangkap dengan “silat” yang kamu ciptakan.

7. Ini berbeza sekali dengan Perdana Menteri. Beliau (Perdana Menteri) dan pihak kerajaan menjelaskan fakta dan memberikan penjelasan kepada umum di platform rasmi iaitu Dewan Negara dan Sidang Media Jurucakap Kerajaan Perpaduan.

8. Jika betul, kamu (Muhyiddin) tidak pernah membawa anak-anak menaiki kapal terbang untuk acara rasmi kerajaan di luar negara kerana mungkin mereka mampu membiaya kos menyewa jet persendirian mereka sendiri. Tetapi bagaimana pula ahli keluarga kamu khususnya menantu kamu yang perolehi “laba” (keuntungan) semasa kamu jadi Perdana Menteri dahulu? Paling malang, menantu kamu ini telah menghilangkan diri dan lari dari siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kini.

9. Selain itu, janganlah pula kamu (Muhyiddin) hendak bandingkan anak-anak kamu dengan anak Perdana Menteri (PMX). Anak Perdana Menteri mendapat jemputan pihak penganjur dan jemputan tersebut adalah atas kapasiti sebagai Pengarah Social & Economic Research Initiative (SERI) serta bersekali dengan jemputan yang diterima oleh Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Institute of Strategic & International Studies (ISIS). Mungkin jika anak kamu dapat undangan untuk menyanyi, kamu juga akan membawa mereka sama.

10. Lagi satu, saya rasa kamu (Muhyiddin) ini memang sudah ada simptom mudah lupa. Sikap pelupa kamu ini sesuai dengan apa yang pernah dikatakan oleh Mahathir sebelum ini iaitu “Melayu Mudah Lupa”. Bila kamu cuba labelkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan (YB Fahmi Fadhil) dengan pesanan “supaya tidak menjadi bodoh”, pesanan kamu ini seolah-oleh kena sebijik ke muka kamu sendiri.

11. Lupakah kamu (Muhyiddin) baru-baru ini, jurucakap kamu sendiri yang merupakan Naib Presiden BERSATU iaitu Ahmad Faizal Azumu juga auto “bodoh” kerana mengeluarkan kenyataan melangkaui kesepakatan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa kamu sebagai calon Perdana Menteri pada PRU Ke-16 akan datang.

12. Lupakah kamu (Muhyiddin), semasa kamu menjadi Perdana Menteri, bekas Ketua Armada BERSATU dan Timbalan Menteri Belia & Sukan iaitu Wan Ahmad Fayhsal pernah juga jadi salah seorang jurucakap kerajaan dan kenyataan beliau juga auto “bodoh” bila mencadangkan mencetak wang untuk tingkatkan ekonomi?

13. Kesimpulannya, buat masa ini, kamu (Muhyiddin) berehatlah buat seketika. Selesaikanlah perkara-perkara pokok yang membelenggu diri kamu terlebih dahulu. Selesaikan dahulu kes salah guna kuasa berjumlah RM232.5 juta. Fokus kepada pembersihan total kes-kes mahkamah di dalam BERSATU. Paling penting bagaimana memujuk menantu kamu pulang ke Malaysia dan berhadapan dengan tuduhan rasuah.


DATUK LOKMAN NOOR ADAM
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

*********************************

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit