Advokasi Keganasan Terhadap Wanita: Tampin Minta Penjelasan Kementerian

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meminta penjelasan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tentang perancangan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga.

Mohd Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata, beliau yakin dan percaya bahawa masih ramai wanita tidak berani untuk tampil membuat laporan sekiranya mereka menghadapi masalah tersebut.

“Terima kasih diucapkan kepada kementerian atas komitmen untuk membuka reruai sepanjang minggu ini di lobi parlimen sempena Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada setiap 25 November.

“Tahniah juga diucapkan kerana berjaya meningkatkan kesedaran para wanita untuk tampil membuat laporan berhubung keganasan rumah tangga. Sungguh pun begitu, saya yakin dan percaya masih ramai lagi wanita di luar sana yang tidak melaporkannya kerana berasa takut dan salah faham terhadap konsep taat.

“Justeru itu, saya ingin mengetahui apakah perancangan yang telah dirangka oleh kementerian untuk menyedarkan golongan wanita ini agar tampil membuat laporan? Sejauh manakah program-program pembelaan atau advokasi yang telah digerakkan sebelum ini berupaya untuk berhadapan dengan trend keganasan rumah tangga yang kian meninggat saban tahun?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 untuk KPWKM di parlimen sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar KPWKM mengatur strategi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengatasi trend ‘child free’ yang dilihat semakin membimbangkan.

“Menurut statistik Jabatan Perangkaan, jumlah kelahiran di Malaysia sehingga suku pertama 2024 telah merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus iaitu 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada suku pertama 2023. Data ini secara tidak langsung telah mengesahkan trend keengganan untuk berkahwin dan ‘child free’ sememangnya sedang benar-benar belaku.

“Sehubungan itu, saya ingin mengetahui berapakah bilangan pasangan yang telah berjaya ditemui untuk dilakukan intervensi mengikut pecahan negeri sepanjang tahun ini?

“Apakah strategi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengatasi perkembangan yang tidak sihat ini daripada terus berleluasa?” soalnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit