BN Wilayah Persekutuan Terus Mengukuh, Relevan Depani Dinamika Politik Bandar – Tengku Zuhri

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Datuk Zuhri Tengku Abdul Aziz berpandangan penting untuk Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan terus mengukuh dalam memastikan gabungan ini terus relevan dalam mendepani dinamika politik bandar hari ini.

Menurut beliau, langkah ini apatah lagi dengan peningkatan peratusan kawasan bandar.

“Ini sangat penting untuk BN kerana di Wilayah Persekutuan di mana Kuala Lumpur merupakan tirai negara, kita memerlukan BN kembali dilihat memperjuangkan politik bandar.

“Penduduk bandar di Malaysia hanya 28.4 peratus pada tahun 1970, meningkat kepada 50.7 peratus pada 1991 dan mencecah 75.1 peratus pada 2020.

“Kini pada 2024 peratusan ini mungkin sudah menghampiri 80 peratus. Bayangkan peratusan lima tahun lagi?” katanya pada Konvensyen BN Wilayah Persekutuan yang dilakukan baru-baru ini.

Tengku Zuhri dalam pada itu berkata ahli UMNO perlu sedar dan akur bahawa prestasi BN bukan hanya di Kuala Lumpur malahan di kesemua kawasan bandar merundum dan tidak memberangsangkan.

Katanya perubahan kaedah, cara dan gerak kerja politik bandar yang lebih efektif dan lebih menyeluruh perlu direncana bagi memastikan BN keluar daripada kepompong kelaziman.

“Perkara ini memerlukan anjakan paradigma dan pemikiran yang mendalam. Tetapi apa pun kita membuktikan bahawa BN masih merupakan formula yang terbaik, formula yang telah mentadbir dan membangunkan negara.

“Kita kena terus pastikan jenama BN ini kekal mekar dan ukhwah serta setiakawan yang kita bina selama ini kekal utuh. Jangan sesekali kita lupa, lalai atau alpa bahawa apa yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada perjuangan kepimpinan BN sebelum ini,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu mengajak rakan-rakan komponen BN untuk bersama-sama membina semula parti supaya dapat berkhidmat lebih baik lagi untuk rakyat di masa hadapan.

“Ayuh kuatkan parti daripada dalaman tonjolkan kepimpinan kita dan nampakkan di mata rakyat di luar sana bahawasanya BN Wilayah Persekutuan masih relevan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.