Terus Perkasakan BN, Lakar Kejayaan Masa Depan – Ahmad Zahid

IPOH, 24 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak seluruh ahli parti untuk terus memperkasakan lagi wadah perjuangan parti dalam usaha melakar kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

Atas landasan itu, beliau yang juga Presiden UMNO ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Perak menggariskan beberapa langkah dan pendekatan bagi memastikan matlamat berkenaan dapat direalisasikan.

“Pertama kita mesti memperkuatkan jentera parti. Jentera kita mesti diperkemaskan di semua peringkat seolah-olah pilihan raya sudah hampir tiba. Gerak kerja mesti bermula sekarang, bukan di saat-saat akhir. Setiap ahli harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan jentera parti berjalan dengan lancar.

“Keduanya kita mesti menguasai era digital. Media sosial dan platform digital perlu digunakan secara strategik untuk menyampaikan mesej parti dengan lebih berkesan. Kita mesti bijak mengurus persepsi dan sentimen di platform digital agar rakyat memahami perjuangan serta visi kita.

“Ketiga… menggilap calon berpotensi. Calon yang dikenali rakyat dan aktif di peringkat akar umbi mempunyai kelebihan besar. Lihat sahaja kejayaan calon di Nenggiri dan Mahkota. Apabila calon diyakini, separuh perjuangan sudah selesai,” katanya.

BN Perak hari ini mengadakan konvensyennya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta pimpinan BN perak yang lain.

Ahmad Zahid seterusnya menambah langkah seterusnya adalah memperkukuh hubungan dengan rakan gabungan serta menarik sokongan pengundi muda.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menggesa agar kestabilan politik hari ini terus dipertahankan dalam usaha memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terjamin.

“Dalam situasi yang begini, bukan kepentingan masing-masing… tetapi kita mesti menjaga kepentingan Kerajaan Perpaduan yang telah sama-sama kita tegakkan. Landskap politik hari ini telah berubah.

“Teruskan berjalan. Lantas daripada keadaan itulah, kita mahu melihat bahawa pertamanya, kestabilan politik harus menjadi keutamaan bagi kita. Bukan sahaja kerjasama dengan rakan-rakan daripada PH malah sesama kita.

“Permasalahan dalaman jika ada, mesti kita selesaikan. Dan kita mahu rumah siap pahat berbunyi. Inilah semangat yang harus ada kepada parti-parti komponen dalam BN dan seluruh ahli yang lain,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.