Kunjungan Ke China Pertingkat Hubungan, Manfaatkan Teknologi Baharu Dalam Undang-undang – Azalina

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan lawatan kerja beliau ke China mempertingkat hubungan dua hala antara dua negara, selain memanfaatkan teknologi baharu yang digunakan mereka dalam undang-undang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang sebelum ini ke Beijing, kemudiannya dibawa ke Shenzhen dengan mengadakan beberapa pertemuan bersama institusi-institusi dan pengamal timbang tara seperti Shenzhen Court of International Arbitration (SCIA), sebelum ke Municipal Court bagi menimba pengalaman berkenaan pengurusan kes yang juga menggunakan sistem teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Selain mempertingkat hubungan dua hala Malaysia-China, saya merasakan lawatan kerja ini telah memberikan peluang kepada delegasi Malaysia untuk menggarab pengalaman dan pengetahuan bermanfaat yang dipelajari hasil pertemuan dan perbincangan selama dua hari ini.

“Usai di Beijing, saya meruskan lawatan kerja ke Shenzhen, China pada 19 November 2024 dengan mengadakan beberapa pertemuan bersama institusi-institusi termasuk SCIA yang baru-baru ini telah memetrai Memorandum Persefahaman dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur berkaitan kerjasama kedua-dua institusi ini.

“Di sana, saya telah dibawa melawat fasiliti mahkamah timbang tara mereka dan diberikan taklimat berhubung sistem penyelesaian pertikaian yang mereka gunapakai mengadaptasi teknologi AI.

“Setelah itu, saya telah dibawa ke Municipal Court di Shenzhen dan turut diberi taklimat berkaitan pengurusan kes mereka yang juga menggunakan sistem AI,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sebelum bertolak balik ke Malaysia, pada sebelah petangnya beliau telah melawat Shenzhen Futian Hetao International Commercial Mediation Centre (HITMC) yang merupakan pusat mediasi.

“Saya turut menggunakan peluang ini untuk bertanya dan mempelajari struktur dan fungsi pusat ini sebaik mungkin dalam rangka usaha kita untuk mewujudkan Pusat Mediasi MADANI tidak lama lagi,” ujar beliau.

Terdahulu pada awal ketibaannya ke China, Azalina berkesempatan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Republik Rakyat China (PRC) iaitu Menteri Keadilan, He Rong dan Pendakwa Raya Agung, Ying Yong.

Memanfaatkan pertemuan tersebut diskusi dan bertukar pandangan dilakukan termasuk perkara berkaitan dengan perundangan terutama reformasi institusi dan undang-undang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit