UMNO Sabah Teguh Sokong Kepimpinan Bung Moktar Radin, Sedia Depani Pelbagai Cabaran

KOTA KINABALU, 20 Nov – Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin, menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dalam menghadapi segala cabaran dan ujian yang sedang dilalui.

Menurutnya, semangat juang dan kepimpinan tegas Bung Moktar adalah kunci dalam memastikan UMNO Sabah terus bergerak maju, meskipun berdepan dengan pelbagai halangan.

“Di sebalik segala cabaran yang melanda, kami yakin dengan kepimpinan yang mantap dan semangat juang yang kental, Datuk Seri Bung Moktar akan terus memimpin UMNO Sabah ke arah kejayaan,” katanya kepada UMNO Online.

Musliati turut menegaskan dan yakin bahawa seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Sabah tetap berdiri teguh bersama Bung Moktar dalam memperjuangkan rakyat dan negeri tercinta.

“Bersama-sama kita akan terus mara tanpa gentar dan tidak akan mengalah sehingga matlamat kita tercapai,” tambahnya.

Beliau turut memberi penekanan kepada proses perbicaraan yang sedang dilalui oleh Bung Moktar, yang kini sedang berdepan dengan pendakwaan di mahkamah.

Musliati menegaskan bahawa proses perbicaraan ini merupakan langkah yang perlu dihadapi dan bukan satu hukuman yang sudah dijatuhkan.

“Semoga Datuk Seri Bung Moktar dan isteri akan terus kuat serta tabah dalam menghadapi ujian ini. Proses perbicaraan ini biasanya panjang, namun kami yakin beliau akan terus menerajui UMNO Sabah dengan cemerlang,” kata Musliati.

Selain itu, Musliati juga menyentuh mengenai perjalanan politik Bung Moktar selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, apabila memilih untuk terus kekal dalam UMNO Sabah dan tidak melompat parti seperti ramai pemimpin lain.

“Tindakan tersebut menunjukkan prinsip dan keteguhan hati beliau dalam meneruskan perjuangan walaupun berdepan dengan macam-macam ujian termasuklah tuduhan dan pendakwaan.

“Beliau masih kekal memimpin UMNO Sabah sehingga kini, dan kami akan terus menghormati beliau sebagai Ketua kami di UMNO Sabah,” katanya.

Musliati juga menegaskan bahawa UMNO/BN Sabah akan terus berjuang dan berkhidmat untuk rakyat serta berusaha untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Terdahulu dilaporkan, Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, untuk membela diri atas tuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta Felcra. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.