Khidmat Bukan Retorik, Mohd Zaidy Laksana Gerak Kerja Demi Keselesaan Rakyat

JEMPOL, 20 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir terus komited dalam melaksanakan amanah demi tanggungjawab dan keselesaan rakyat di kawasan terbabit.

Katanya, selaku pemimpin yang telah diangkat oleh masyarakat setempat sebagai wakil rakyat tentunya usaha sentiasa dibuat bagi memastikan tugas dilaksana dengan penuh dedikasi dan setiap keputusan yang diambil memberi manfaat kepada semua pihak.

“Pemimpin harus sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan ini adalah pegangan yang sentiasa tersemat untuk saya melaksanakan tanggungjawab demi memastikan kesejahteraan dan kemajuan terpelihara. Amanah yang diberikan oleh mereka bukanlah untuk disalahgunakan atau politik retorik sebaliknya ia adalah usaha berterusan yang dilaksana.

“Apatah lagi, tanggungjawab ini diharapkan dapat memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan dan pentadbiran dalam Kerajaan Perpaduan dengan usaha mengangkat kestabilan serta kemakmuran terus diaplikasi,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah menyertai program ziarah kasih yang diadakan bersama sahabat UMNO DUN Jeram Padang melibatkan lawatan ke rumah pesakit kronik dan keluarga yang telah kehilangan orang tersayang di Felda Palong 2.

“Saya mendoakan agar mereka yang sakit diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik. Tak lupa, saya mengucapkan salam takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat,” kata Mohd Zaidy.

Dalam perkembangan yang lain, Mohd Zaidy melaksanakan gerak kerja dengan mengadakan perbincangan penting dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), serta Jabatan Ukur Daerah Jempol berkaitan infrastruktur dan keperluan di sini.

Jelasnya, perbincangan tersebut melibatkan dua perkara utama iaitu cadangan tapak untuk padang awam di DUN Jeram Padang dan cadangan laluan baharu untuk Kampung Orang Asli Panchor yang memerlukan kelulusan daripada pihak berkenaan untuk kegunaan awam.

“Perbincangan tersebut adalah untuk membincangkan cadangan pembinaan laluan baharu yang akan menghubungkan Kampung Orang Asli Panchor dengan kawasan lain.”

“Saya berharap pihak RAC dapat memberikan kelulusan untuk permohonan ini demi kemudahan masyarakat Jeram Padang. Setelah menunggu selama 30 tahun, kami berharap kelulusan ini akan mengakhiri penantian panjang kami.

“Kami melaksanakan amanah ini demi tanggungjawab kami kepada rakyat. Semoga segala perancangan dan usaha yang dilakukan untuk kebaikan rakyat ini berjalan lancar,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit