Lawatan Kerja PM Ke Brazil Raih RM6.8 Bilion Potensi Eksport, Meterai Kerjasama Industri Semikonduktor – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Lawatan Kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil pada 16 hingga 19 November 2024 telah berjaya menghasilkan potensi eksport sebanyak RM6.8 bilion (USD1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dan potensi eksport ini meliputi pelbagai sektor bernilai tinggi yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pencapaian ini mencerminkan peluang perdagangan yang besar, terutama dalam sektor-sektor strategik seperti semikonduktor, teknologi maklumat dan komunikasi, serta industri aeroangkasa, yang menjadi keutamaan dalam strategi pembangunan ekonomi Malaysia.

Katanya, potensi eksport ini diperoleh melalui Mesyuarat Meja Bulat yang dianjurkan oleh MITI dengan pemimpin industri Brazil, yang dihadiri oleh 58 wakil dari 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan dari Brazil serta turut disertai oleh 48 wakil Malaysia dari 19 syarikat dan agensi industri, melibatkan sektor-sektor seperti minyak & gas, peranti perubatan, dan industri halal.

“Satu titik penting dalam lawatan ini adalah pemeterian dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam industri semikonduktor, yang menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama dalam reka bentuk, pembuatan, dan pembangunan bakat dalam sektor tersebut. MOU tersebut dimeterai antara MIMOS Berhad dan Institut Eldorado Brazil, serta antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil, dan Persatuan Industri Semikonduktor Brazil.

“Kerjasama dalam industri semikonduktor ini akan membuka peluang besar bagi Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global semikonduktor, seiring dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang digariskan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, jelasnya, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil mencatatkan peningkatan sebanyak 19.8% pada tahun 2024, dengan nilai perdagangan mencapai RM14.83 bilion (USD3.2 bilion) bagi tempoh Januari hingga September selain Brazil juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di kalangan negara-negara Amerika Latin.

“Pelaburan dari Brazil ke Malaysia juga menunjukkan angka yang memberangsangkan, dengan RM8.64 bilion (USD2.73 bilion) pelaburan diterima dalam sektor pembuatan makanan, produk getah, peralatan pengangkutan dan hab pengedaran global. Syarikat-syarikat Malaysia seperti PETRONAS, Yinson, dan Sapura turut menunjukkan minat melabur di Brazil dalam sektor tenaga dan minyak & gas, dengan jumlah pelaburan lebih dari USD15 bilion.

“MITI yakin bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Brazil akan terus berkembang, berasaskan peluang-peluang yang ada melalui NIMP 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.