Industri Kenaf Punyai Potensi Besar, Sumber Ekonomi Baru Mapan Negara – Sh Mohmed Puzi

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali menyifatkan industri kenaf mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan sebagai komoditi eksport baharu, salah satu sumber ekonomi baru mapan kepada negara.

Menurut beliau ini kerana ia sebagai tanaman pilihan menggantikan tembakau yang mempunyai banyak kegunaan biokomposit bagi industri seperti automotif, tekstil, kosmetik, pulpa dan kertas.

“Sektor pembinaan juga banyak menggunakan kenaf disebabkan sifatnya yang lebih mesra alam dan tahan lasak, antaranya komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) Tasblock.

“Kenaf juga turut digunakan sebagai bahan makanan ternakan, sebagai contoh kenaf yang berusia 30 hingga 45 hari dijadikan makanan ternakan kerana kadar protein yang tinggi bagi haiwan ruminan.

“Permintaan tinggi bagi eksport ke luar negara seperti China kerana kualiti kenaf Malaysia yang jauh lebih baik,” katanya.

Jelas beliau lagi, meskipun permintaan bagi komoditi kenaf adalah tinggi dan mempunyai potensi yang sangat baik tetapi ia kurang diusahakan kerana pengurusan tanah yang kurang baik.

Malah katanya banyak tanah yang terbiar, tidak diusahakan serta tidak dimanfaatkan sepenuhnya bagi perusahaan tanaman komoditi.

“Penggunaan tanah yang terpaksa mengutamakan tanaman lain atas faktor tertentu seperti krisis makanan.

“Apabila tahap sara diri bahan makanan berada pada tahap membimbangkan, kerajaan terpaksa memfokuskan kepada penanaman atau pertanian sektor makanan yang terlibat supaya tidak menghadapi krisis yang kronik yang mengancam sekuriti makanan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit