Remajakan Komuniti Petani Koko Libatkan Lebih Ramai Golongan Muda – Shahar

KUALA LUMPUR, 18 Noc– Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berpandangan langkah drastik perlu dilakukan kerajaan dalam mengangkat industri koko tempatan dengan penglibatan lebih ramai golongan muda.

Menurut beliau ini kerana ia penting bagi memastikan industri ini melalui perkembangan sewajarnya seiring dengan potensi dimiliki.

“Saya ingin bertanya kepada pihak kementerian kerana sefaham saya komuniti petani koko majoritinya adalah golongan yang tua.

“Apakah strategi Lembaga Koko Malaysia untuk meremajakan komuniti petani koko ini?” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Backbenchers turut bertanya langkah dilakukan kerajaan dalam mengangkat industri koko negara dengan meningkatkan penggunaan dan permintaan tempatan terhadap produk berasaskan koko.

“Apabila menyentuh pasal koko Malaysia kita hadapi cabaran kerana persaingan adalah negara-negara pengeluar koko yang besar seperti Afrika Barat seperti Ivory Coast dan Ghana serta negara jiran kita Indonesia.

“Persoalan saya kepada pihak kementerian berapakah keluasan ladang tanaman koko yang telah ditukar kepada tanaman yang lain seperti kelapa sawit, getah dan berapakah yang sediakan sekarang ini.

“… dan bagaimana kita ingin memastikan kita dapat menjadi pengeluar koko dengan kos yang rendah supaya kita juga dapat meningkatkan keupayaan petani-petani dalam bidang koko ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.