Projek LPT3, Laluan Strategi Hubungkan Pahang, Terengganu Dan Kelantan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melaksanakan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dengan matlamat untuk memastikan daya maju dari aspek teknikal dan ekonomi.

Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerajaan amat menyedari kepentingan LPT3 yang bakal menjadi pelengkap kepada rangkaian Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Fasa 2 (LPT2). Projek ini juga akan menyediakan laluan yang lebih selesa untuk menghubungkan tiga negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu, dan Kelantan.

“Cadangan panjang jajaran utama Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) adalah sejauh 147 km, yang bermula dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga Pengkalan Kubor, Kelantan. Projek ini melibatkan pembinaan jalan dengan empat lorong dua hala. Kos anggaran projek pada tahun 2009 adalah sebanyak RM2.867 bilion dengan piawaian JKR R6, yang merupakan standard lebuh raya.”

Walau bagaimanapun, katanya, projek fizikal pembinaan LPT 3 masih belum dimulakan meskipun kajian kemungkinan telah dilaksanakan lebih 15 tahun lalu.

“Pada tahun 2020, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja-kerja awalan, yang melibatkan penyemakan semula jajaran dan kos projek.

“Skop kerja awalan yang dilaksanakan termasuk penyiasatan tanah, Light Detection and Ranging (LIDAR) Survey, kajian lapangan, pemetaan utiliti, Building Information Modelling (BIM), kajian trafik, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), dan Penilaian Impak Sosial (SIA).”

Dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang meminta penjelasan tentang keputusan terkini mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pembinaan LPT 3, Menteri Kerja Raya, Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian, menjelaskan bahawa hasil kerja awalan tersebut, panjang jajaran utama LPT 3 telah ditingkatkan kepada 151 km, yang kini bermula dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga Pengkalan Kubor, Kelantan.

Katanya, ini melibatkan cadangan pembinaan jalan empat lorong dua hala, dengan kos projek yang kini dianggarkan sekitar RM9.84 bilion.

“LPT 3 adalah lebuh raya bertol yang dicadangkan untuk dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta (PPP) dengan proses bidaan bersaing melalui Request For Proposal (RFP). Pelaksanaan RFP sedang diteliti oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM), melalui pelbagai peringkat.

“Sekiranya diluluskan oleh jawatankuasa di UKAS JPM, cadangan RFP ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan lanjut.

“Menurut kajian awalan oleh Kementerian Kerja Raya, jajaran yang telah dikenal pasti sebagai berdaya maju adalah sepanjang 122 km, dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga ke Tunjong, Kelantan.” 

Katanya, jajaran ini telah dipilih setelah beberapa siri perbincangan yang diadakan antara UKAS bersama wakil Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dari negeri Kelantan dan Terengganu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.