Depani PRU ke-16… BN Perlis Yakin Akan Bangkit Semula
BARISAN NASIONAL (BN) Perlis terus menonjolkan keyakinan untuk bangkit semula pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) setelah mengalami cabaran besar ketika PRU ke-15. Walaupun landskap politik di Malaysia semakin dinamik, BN Perlis dilihat tidak mudah menyerah dan kini sedang merangka strategi baharu untuk memastikan kelangsungan politik mereka di negeri tersebut.
Kegagalan lalu sebagai pengajaran. PRU ke-15 menyaksikan BN kehilangan banyak kerusi di seluruh negara, termasuk di Perlis, yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat parti itu. Kekalahan ini menjadi peringatan untuk memantapkan semula jentera parti di semua peringkat dan memperkukuhkan sokongan akar umbi. Ketua-ketua bahagian BN Perlis menegaskan bahawa pengalaman tersebut menjadi pengajaran berharga dalam memahami keperluan rakyat dan cabaran politik semasa.
BN Perlis kini sedang memperkemaskan barisan kepimpinan dengan mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk golongan muda. Beberapa pendekatan utama yang difokuskan termasuk mendekati generasi muda. Program-program yang melibatkan anak muda akan diperbanyakkan untuk memastikan suara mereka didengari.
Program memperkasa akar umbi sedang giat diaktifkan semula melalui hubungan dengan penyokong tradisional di peringkat kampung dan mukim untuk mendapatkan sokongan yang lebih kuat. Isu tempatan dijadikan sebagai fokus disertai dengan usaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan kos sara hidup. Ia akan menjadi agenda utama dalam manifesto BN di Perlis. Walaupun BN yakin dengan kebangkitan mereka, namun kami sedar cabaran tetap wujud.
Selain itu, perubahan pola pengundian selepas Undi18 juga mencipta landskap politik baharu. Kini pengundi muda mempunyai kuasa penentu. BN perlu memastikan bahawa naratif mereka relevan dan dapat menarik sokongan kumpulan demografi ini. Walaupun berdepan cabaran, kepimpinan BN Perlis yakin bahawa sokongan terhadap mereka akan meningkat pada PRU ke-16.
Dengan strategi yang diperbaharui dan pendekatan inklusif, kami berharap ia dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Perlis terhadap BN melalui kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman, dibawah teraju Datuk Seri Zahid Hamidi, Pengerusi BN.
Pada akhirnya, masa depan BN Perlis akan bergantung kepada keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa, mendengar suara rakyat dan membina semula kepercayaan yang pernah mereka miliki. Hasil gerak kerja yang berterusan, pemerhatian dan tindakan bersepadu UMNO Negeri, dapat dilihat rakyat bahawa rakyat semakin memberi sokongan jitu kepada parti.
Tambahan pula, Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya bertindak dengan lebih baik dalam mengemudi kerajaan negeri. PRU ke-16 bakal menjadi ujian sebenar sama ada usaha ini membuahkan hasil atau sebaliknya. Terima kasih di atas kehadiran Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir ke Perlis yang telah menyuntik semangat jitu dikalangan jentera parti di negeri ini.
Ruzaini Rais
Setiausaha UMNO Negeri Perlis
Setiausaha BN Negeri Perlis