Lawatan Kerja: Ahmad Zahid Yakin Kerjasama Bersama Space42 Mampu Bina Kemajuan Ekonomi Negara
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa dengan kerjasama strategik bersama Space42, ia mampu membina kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa lawatan kerja ke Dubai merupakan langkah penting untuk mengeratkan kerjasama Malaysia-UAE terutamanya dalam memanfaatkan teknologi.
“Semasa di Abu Dhabi, saya bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke Space42, sebuah pusat inovasi teknologi angkasa yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), komunikasi satelit dan analitik geospatial.
“Lawatan ini menandakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan ketahanan serta memperkukuhkan kerjasama serantau,” katanya.
Menurutnya, dengan teknologi canggih tersebut sudah semestinya ia akan meningkatkan keupayaan untuk memantau bencana alam dan bertindak dengan pantas.
“Saya melihat kepakaran Space42 dalam AI dan sambungan satelit mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan Malaysia, khususnya dalam pemantauan bencana alam dan tindak balas pantas.
“Dengan teknologi canggih ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuhkan infrastruktur komunikasi negara, malah kita juga akan dapat memastikan rakyat Malaysia terus menikmati akses digital yang lebih luas dan selamat.
“Melalui kerjasama strategik ini, saya optimis bahawa kita mampu membina masa depan di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mempengerusikan sesi pre-council bersama delegasi Malaysia untuk membincangkan rangka lawatan kerja beliau di Dubai secara lebih terperinci.
“Setibanya di Dubai, saya telah mempengerusikan sesi pre-council bersama delegasi Malaysia untuk membincangkan secara terperinci mengenai lawatan kerja rasmi saya di sini.
“Turut bersama saya dalam sesi ini adalah TYT Tengku Datum Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Duta Besar Malaysia; Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE; para pegawai kedutaan serta wakil agensi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa lawatan kerja tersebut diadakan adalah untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor halal global.
“Tumpuan utama kami adalah untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor halal global dan meneroka peluang strategik yang dapat memperhebatkan pengembangan industri ini di pasaran antarabangsa.
“Doakan semoga segala urusan kami di Dubai ini berjalan lancar seterusnya memberi impak positif kepada negara khususnya dalam memperkasa industri halal Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online