Terdapat 12 Universiti Awam Tawar Program Holistik Dalam Pengurusan Halal – Zambry

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Terdapat sebanyak 12 buah universiti awam di Malaysia yang menyediakan program holistik merangkumi bidang keusahawanan dan pengurusan halal.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) program-program pengajian tersebut disediakan untuk melahirkan graduan yang lengkap ilmu rentas disiplin.

“KPT menyedari kepentingan dalam menyediakan program-program pengajian holistik termasuk pengurusan halal untuk memberikan nilai tambah dan melahirkan graduan dilengkap dengan ilmu rentas disiplin serta diperlukan dalam dunia pekerjaan yang dinamik.

“Berhubung dengan perkara ini terdapat 12 universiti awam yang menyediakan program holistik berkaitan pengurusan halal ini. Antaranya ialah Universiti Malaya (UM).

“UM menawarkan kursus elektif terbuka yang merangkumi bidang keusahawanan dan juga sehingga ke peringkat sarjana pengurusan halal sekiranya ada pelajar yang ingin mengambil subjek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut memaklumkan bahawa program di universiti-universiti berkenaan diadakan dengan tujuan untuk merealisasikan Malaysia sebagai hub hala global.

“Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga memperkenalkan program melalui International Institute for Halal Research and Training. Ianya bertujuan untuk merealisasikan impian kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hub halal global menerusi program pengajian jangka panjang dan bidang kepakaran termasuk dalam konteks syariah compliance services.

“Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula mempunyai program yang dirangka dalam mengguna pakai modul halal quality management system (SMIOC). Ia merupakan piawaian standard yang digunakan oleh Standard and Metrolgy institute for Islamic Countries untuk mendukung aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hub halal terkemuka dunia dan juga melahirkan usahawan serta eksekutif dalam bidang halal,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa KPT telah melakukan perancangan bersama kementerian-kementerian lain untuk mengemukakan konsep baharu industri halal pada Mesyuarat ASEAN pada tahun hadapan.

“Saya ingin menjelaskan dalam konteks menyediakan kepakaran di peringkat negara dan antarabangsa, seringkali yang dikemukakan ialah untuk kita mempunyai kursus-kursus ataupun akreditasi halal. Tetapi, dalam perspektif yang lebih besar ialah bagaimana halal itu seharusnya dijadikan sebagai satu industri.

“Dalam konteks ini Malaysia perlu terus menjadi sebagai pusat rujukan di peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan tahun hadapan Malaysia mempengerusikan ASEAN, kita telah merancang melalui KPT dengan kementerian-kementerian lain supaya boleh dikemukakan satu konsep baharu agar negara-negara ASEAN boleh meneroka industri halal dengan lebih mendalam,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.