Sokongan Rakyat Terhadap BN Di Keningau Kukuh – Nik Mohd Nadzri
KENINGAU, 12 Nov – Ketua Bahagian UMNO Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, menegaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di kawasan Keningau, khususnya di DUN 41 Liawan, masih kukuh dan berterusan.
Beliau menyatakan bahawa ramai rakyat di kawasan tersebut merindui zaman pemerintahan BN yang mereka anggap lebih baik berbanding keadaan semasa.
Nik Mohd Nadzri berkata demikian ketika hadir di Pelancaran Gerak17 UMNO Sabah, yang diadakan sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Menurutnya, walaupun BN telah kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, sokongan rakyat terhadap BN tidak pudar dan masih teguh, khususnya di DUN Liawan yang merupakan kerusi tradisi UMNO/BN.
“Pada PRN Ke-16, BN memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di DUN Liawan, namun kerjasama yang diberikan itu akhirnya tidak dihargai. Meskipun begitu, sokongan rakyat terhadap BN terus kekal dan kami percaya ini adalah masa yang tepat untuk rakyat di kawasan Keningau kembali memilih BN,” kata beliau.
Nik Mohd Nadzri juga menyatakan bahawa banyak isu pembangunan asas yang gagal diselesaikan oleh kerajaan semasa, seperti kemiskinan, pengangguran, dan kekurangan infrastruktur,yang semakin membebankan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa perubahan perlu dilakukan untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan rakyat di Keningau.
“Sokongan yang kukuh ini memberikan keyakinan kepada BN untuk berjuang demi masa depan rakyat di sini. Jika kita tidak melakukan perubahan, kita akan terus dihimpit dengan masalah yang belum diselesaikan,” ujarnya lagi.
Majlis tersebut telah disempurnakan pelancarannya oleh Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan kehadiran Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua UMNO Papar, Datuk Jamal Nerubi; Timbalan Ketua UMNO Papar yang juga Adun Pantai Manis, Tamin Zainal dan Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris. – UMNO Online