Banjir Pahang: MB Nasihatkan Orang Ramai Elakkan Aktiviti Berhampiran Sungai, Laut

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan sebarang aktiviti berhampiran kawasan sungai dan laut pada musim banjir ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar mangsa yang kini terlibat dalam bencana banjir dapat bersabar dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Saya berharap semua mangsa yang terlibat dalam bencana banjir di Raub dan Lipis dapat bersabar dan patuhilah arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Terima kasih kepada pasukan penyelamat serta agensi-agensi bertanggungjawab yang telah membantu mangsa untuk mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau turut berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi perlindungan daripada menghadapi sebarang musibah.

“Saya juga menyeru agar orang ramai menghindari daripada melakukan sebarang aktiviti di kawasan sungai dan laut bagi mengelak terjadinya kejadian yang tidak diingini.

“Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang musibah dan malapetaka,” katanya.

Setakat jam 10.00 pagi tadi media melaporkan Lipis menjadi daerah terbaru dilanda banjir sekali gus menjadikan angka mangsa banjir di Pahang meningkat kepada  441 orang daripada 127 keluarga.

Ini berbanding 153 orang daripada 45 keluarga yang dicatatkan pukul 3.30 petang semalam di daerah Raub.

Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa berlindung di lapan PPS di dua daerah terbabit sehingga pukul 8 pagi ini.

Menurutnya, di Raub terdapat enam PPS yang menempatkan 223 mangsa daripada 66 keluarga manakala di Lipis dua PPS membabitkan 218 mangsa, 61 keluarga. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit