Jangan Sembunyikan Kes Buli Di IPMA – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Pengendalian Institusi Pendidikan MARA (IPMA) diingatkan supaya tidak menyembunyikan sebarang kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar atau akan berdepan tindakan tegas.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan akan dikenakan terhadap pengetua institusi pengajian terbabit sekiranya didapati menyembunyikan kes berkenaan, selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jangan sesekali ada IPMA termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang sorok (sembunyi) kes buli. TPM (Ahmad Zahid) telah arahkan saya, jika ada kes buli disorokkan maka tindakan turut diambil terhadap Pengetua terbabit,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Asyraf Wajdi juga menegaskan tidak ada kompromi atau pilih kasih terhadap mana-mana pelaku buli di IPMA.
“Saya tidak kira anak pembesar, anak orang kenamaan berpengaruh sekalipun, jika didapati melakukan perbuatan buli, mereka tiada tempat di IPMA.You touch you go!” katanya. – BERNAMA